Koenigsegg Jesko Absolut buat penampilan – 1,600 hp

Koenigsegg Jesko Absolut buat penampilan – 1,600 hp

Minggu lalu, jenama pengeluar kereta dari Sweden, Koenigsegg memperkenalkan Jesko Absolut yang merupakan versi lebih rendah dan pantas bagi model sama. Menerima jolokan sebagai kereta Koenigsegg paling laju yang pernah dihasilkan.

Tentunya Koenigsegg ada sebab untuk mengeluarkan dakwaan seperti itu. Seperti yang dinyatakan oleh CEO Christian von Koenigsegg dalam sebuah wawancara bersama Top Gear; Jesko Absolut akan menjadi kemuncak dan pengakhiran bagi jenama itu dalam usaha mereka untuk menghasilkan kereta terpantas. “Ia lebih daripada sekadar laju. Kami sebenarnya tak ingin lagi menghasilkan apa-apa kereta yang lebih laju daripada ini,” ujar beliau.

Untuk tidak lagi terlibat di dalam “perang” menghasilkan kereta terpantas, ia tentulah merupakan suatu keputusan yang bukan mudah. Oleh itu, Koenigsegg ingin menutupnya dengan sesuatu yang luar biasa. Jesko Absolut yang dinyatakan ini sebenarnya mempunyai kelajuan maksimum yang tak masuk akal untuk menjarakkannya daripada pesaing lain seperti Bugatti Chiron Super Sport 300+ yang mencatatkan bacaan 490.484 km/h.

Koenigsegg Jesko Absolut buat penampilan – 1,600 hp

Berapa laju Jesko Absolut ini boleh pergi? Menurut beliau, berdasarkan pengiraan dalaman syarikat, Jesko Absolut mampu mencapai “lebih laju daripada 500 km/j”. Jika ini betul, maka ia akan dapat mengatasi kepantasan kereta Bugatti tersebut dengan jurang yang agak ketara.

Apa pun, untuk membuktikan perkara itu memerlukan persiapan yang banyak, dan setakat ini belum ada lagi tarikh yang diumumkan untuk ujian kepantasan jentera terbabit. Dari sudut spesifikasi sistem janaan kuasa, Absolut mempunyai senarai yang hampir sama dengan Jesko biasa; unit enjin 5.0 liter turbo berkembar V8 yang menghasilkan 1,600 hp dan 1,500 Nm tork, dan menggunakan bahan api Etanol E85. Ia digandingkan dengan kotak gear Light Speed Transmission sembilan-kelajuan oleh Koenigsegg sendiri, yang menggunakan tujuh klac di antara mana-mana gear untuk membolehkannya ditukar dengan pantas.

Koenigsegg Jesko Absolut buat penampilan – 1,600 hp

Selain itu, pakej aerodinamik Absolut juga diberi penekanan untuk mendapatkan kadar rintangan yang kurang berbanding Jesko biasa, serta menjadikannya lebih stabil. Antara yang dilakukan ialah bahagian bonet belakang ditambah 85 mm, spoiler besar digunakan serta tiada corong udara pada bonet.

Absolut mempunyai keluasan depan hanya 1.88 meter persegi dengan kadar rintangan 0.278 Cd sahaja. Absolut juga boleh menghasilkan daya downforce sebanyak 40 kg ketika bergerak pada kelajuan 250 km/j dengan jumlah maksimum yang boleh dicapai ialah 150 kg pada kelajuan yang lebih tinggi. Sebagai perbandingan, Jesko biasa mampu menghasilkan downforce 800 kg pada 250 km/j, 1,000 kg pada kelajuan 275 km/j dan maksimum 1,400 kg.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required