Bugatti Chiron Super Sport 300+ – model terhad sama seperti prototaip, hanya 30 unit, berharga RM16 juta

Bugatti Chiron Super Sport 300+ – model terhad sama seperti prototaip, hanya 30 unit, berharga RM16 juta

Awal bulan ini kita digemparkan dengan berita Bugatti Chiron yang mencatatkan kelajuan 490.484 km/j (304.773 bs/j), sekaligus mengiktiraf Bugatti sebagai pengeluar automotif pertama di dunia memecahkan tembok catatan kelajuan 300 bs/j. Chiron tersebut adalah versi ubahsuai yang tidak sama dengan Chiron standard, tetapi jika anda mahukan versi yang sama, jangan gusar kerana Bugatti akan membinanya sebanyak 30 unit untuk dijual bagi meraikan kejayaan mereka.

Model edisi terhad tersebut digelar Bugatti Chiron Super Sport 300+, dan ia telah didedahkan kepada sekumpulan pelanggan Bugatti terpilih dalam satu majlis bagi meraikan ulangtahun ke-110 jenama kereta Perancis tersebut. Ia akan dijual pada hara 3.5 juta euro atau lebih dari RM16 juta, dan pelanggan pertama yang menempah akan menerima kereta tersebut pada pertengahan tahun 2021.

“Selepas mencatatkan kelajuan menakjubkan lebih dari 300 bs/j, di mana kami adalah pengeluar pertama yang mencatatkannya, kami kini menawarkan Super Sport 300+ kepada pelanggan – model edisi khas yang sangat istimewa dan Bugatti paling laju pernah dihasilkan,” kata presiden Bugatti, Stephan Winkelmann.

Bugatti Chiron Super Sport 300+ – model terhad sama seperti prototaip, hanya 30 unit, berharga RM16 juta

“Tetapi Chiron Super Sport 300+ lebih dari sekadar siri kereta sport produksi terpantas di dunia. Ia adalah testimoni kepada teknikal Bugatti yang diperhalusi, hasil kerja yang hebat dan perhatian yang tinggi terhadap perincian,” tambahnya lagi.

Model produksi berkenaan tampil dengan ciri dan rupa seiras versi prototaip yang membuat rekod berkenaan. Ia dijana enjin ‘Thor’ W16 8.0 liter empat pengecas turbo yang menghasilkan 1,600 PS atau 100 PS lebih berkuasa dari Chiron Sport, digandingkan dengan kotak gear standard klac berkembar automatik tujuh-kelajuan. Kuasa berkenaan dialirkan ke kesemua roda.

Badan Super Sport 300+ ini juga berbeza dengan versi biasa terutamanya pada bahagian belakang. Ekor versi lebih hardcore ini dihasilkan lebih panjang, menampilkan penutup enjin khas, dan juga ekzos dengan konfigurasi pada tip berkembar dirombak semula, menampilkan susunan menegak, bagi membolehkan diffuser menerima rekaan yang menambah daya lekatan ke permukaan jalan yang lebih tinggi.

Muka Chiron ini nampak hampir sama dengan model standard, tetapi sebenarnya ia diberikan liang udara lebih agresif bersama liang berbentuk bulat yang terletak pada bahagian atas perumah roda. Ia juga diserlahkan dengan badan gentian karbon, bersama jalur-jalur berwarna oren.

Pada bahagian kabin, Chiron istimewa ini menampilkan kemasan-kemasan karbon hitam, bersama balutan-balutan kulit dan Alcantara berwarna Beluga Black, serta serlahan-serlahan Jet Orange seperti pada bahagian luarannya. Perkataan “Super Sport 300+” turut diletakkan pada tempat-tempat sepatutnya seperti pada bendul pintu bersama lampu-lampu LED.


Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required