Pernah pandu kereta yang cermin hadapannya pecah? Susah nak pandukan? Nak buka mata pun susah, macam tunggang motosikal tapi helmet tiada visor. Hujung tahun lalu, McLaren telah memperkenalkan model baharu yang di gelar Elva, dihasilkan bukan sahaja tiada bumbung, malah cermin depan pun tidak disertakan.

Jadi macam mana nak pandu kereta ni? Takkan nak pakai helmet fullface setiap masa? Pengarah Kejuruteraan Rekaan McLaren, Dan Parry-Williams akan menerangkan bagaimana Elva ini direka membolehkan anda memandu kereta berkenaan tanpa gangguan aliran angin yang boleh anda tonton menerusi video di atas.

Sebenarnya Elva diberikan fungsi Active Air Management System (AAMS) yang terletak pada bahagian hadapan kereta ini. Panel pada sistem berkenaan akan ‘menolak’ udara dari hadapan naik 120 darjah ke atas. Kemudian ia akan ditolak semula kebelakang dan akan melalui bahagian atas kepala dan bukannya tepat ke muka pemandu, atau secara teorinya satu kanopi maya terhasil dari lencongan aliran udara tersebut.

Menurut Dan, pemandu tidak akan merasa apa-apa ganguan udara serta tidak menggangu rambut anda sekalipun dan kekal berasa selasa memandu kereta tanpa cermin hadapan ini pada kelajuan sekitar 120 km/j. Tetapi jika anda mengangkat tangan ke atas, baru anda rasa ditolak oleh angin seperti anda julurkan tangan keluar dari tingkap pada kereta biasa ketika bergerak. Dalam kelajuan lebih laju, satu panel tambahan akan keluar dari bahagian berkenaan untuk mengekalkan bentuk kanopi tersebut.

Kenapa Elva direka sebegini? Pertamanya, ia adalah model jelmaan semula kereta lumba McLaren-Elva M1A dengan berat hanya 551 kg, yang pernah digunakan dalam perlumbaan Canadian Sports Car Grand Prix pada tahun 1964. Jadi selain rupa, kereta ini direka tanpa bumbung dan cermin hadapan kerana McLaren mahukan ia menjadi kereta paling ringan dalam barisan modelnya buat masa sekarang dengan berat hanya 1,138 kg atau lebih ringan dari kereta lumba F1 terkini.

Elva dijana oleh enjin V8 4.0 liter biturbo yang mampu menghasilkan 815 PS dan tork maksima 800 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar tujuh kelajuan. Ini membolehkan Elva memecut 0-100 km/j dalam masa tidak sampai tiga saat, serta catatan pecutan 0-200 km/j lebih laju dari McLaren Senna iaitu 6.7 saat.