Perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru sahaja membentangkan pakej ransangan ekonomi berjumlah RM250 bilion yang akan diagihkan kepada rakyat serta perniagaan untuk berhadapan keadaan teruk waktu pandemik Covid-19 sekarang ini.

Dalam pakej yang menyeluruh ini, pemandu e-hailing juga akan menerima manfaat di mana setiap seorang daripada mereka akan menerima bayaran satu kali sebanyak RM500, dengan jumlah keseluruhannya RM60 juta. Ini sekurang-kurangnya dapat membantu mengurangkan beban mereka memandangkan jumlah penumpang sekarang menurun dengan banyak.

Sebelum ini, Persatuan Pemandu Perkhidmatan E-Hailing Malaysia (MeHDA) pernah meluahkan rasa kecewa kerana tidak mendapat sebarang bantuan seperti pemandu teksi semasa pakej ransangan ekonomi yang dibentangkan pada bulan Februari lalu.

Selain daripada itu, Bank Negara juga sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan bahawa semua pelanggan bank secara automatiknya – termasuk bagi individu serta perniagaan kecil dan sederhana – dibenarkan untuk menangguh bayaran semula pinjaman dan ini termasuk bayaran semula sewa-beli (hire-purchase) kenderaan.