Ini ada satu lagi cara bagaimana anda boleh kurangkan hubungan atau sentuhan dengan permukaan di tempat awam dalam waktu-waktu wabak Covid-19 ini. Untuk pelanggan Petronas, anda boleh gunakan aplikasi Setel di telefon.

Melalui aplikasi ini, anda tidak perlu berjalan untuk ke kaunter bayaran dan mengurangkan pendedahan diri sendiri dengan individu lain. Anda juga tidak perlu untuk menekan apa-apa papan kekunci pada pam minyak terbabit, melainkan masih perlu untuk mengangkat pam dan mengisi minyak ke dalam tangki kereta.

Boleh digunakan di lebih daripada 700 stesen Petronas ketika ini, Setel kini juga menawarkan pulangan tunai 10% jika pelanggan membayar menggunakan kad kredit berkelayakan. Tawaran ini sah untuk transaksi kad kredit AmBank, CIMB, Citibank, Hong Leong Bank, RHB Bank dan UOB. Lain-lain kad kredit bakal menyusul.

“Pelanggan yang ketika ini menikmati manfaat pembayaran minyak menggunakan kad kredit ingin manfaat yang sama ditawarkan melalui aplikasi Setel. Kini mereka boleh berbuat demikian, tanpa mengorbankan keistimewaan lain. Setel telah mencecah angka sejuta pengguna lepas sebulan diperkenalkan awal Februari lalu,” ujar CEO Setel, Iskandar Ezzahuddin.

Pulangan tunai purata yang biasa ditawarkan ialah pada kadar 5%. Angka ini mencecah sehingga 10% pulangan tunai melalui kad Citi Cash Back Visa, Citi Simplicity dan Citi Cash Back Platinum. Sementara kad WISE Hong Leong Bank menawarkan sehingga 8%; RHB World Mastercard Credit Card/-i menawarkan sehingga 6%; manakala bagi kad-kad AmBank CARz, AmBank Islamic CARz, CIMB Cash Rebate Platinum MasterCard, RHB Cash Back Credit Card/-i dan UOB One Visa Platinum/Classic menerima pulangan 5%. Kad AmBank True Visa pula memberikan pulangan tunai 3%.