Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, kerajaan telah memutuskan supaya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam melaksanakan sekatan jalan raya di seluruh negara sehingga tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Perkara ini diputuskan selepas Mesyuarat Khas Menteri Mengenai PKP di Putrajaya, hari ini. Buat setakat ini, PDRM dan ATM telah mengadakan 769 sekatan jalan raya di seluruh negara dan memeriksa 433,988 kenderaan.
Katanya lagi, sehingga semalam, kadar pematuhan orang ramai terhadap PKP telah meningkat kepada 97%. Walau bagaimana pun, pihaknya masih belum berpuas hati dengan statistik itu kerana masih ada tiga peratus rakyat Malaysia ingkar pada PKP yang bertujuan memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.
“Jumlah tangkapan harian individu ingkar PKP juga menyaksikan penurunan apabila seramai 300 individu ditahan semalam, berbanding 454 tangkapan pada hari sebelumnya. Berbanding kelmarin, kadar tangkapan menurun 34%, namun kita masih mengkaji dan meneliti trend ini sebab dua hari lalu, mulanya menurun kemudian meningkat kembali.
“Peningkatan sebelum ini kita harap bersifat sementara kerana ramai yang keluar untuk ke Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk keluarkan wang bantuan daripada kerajaan. Kita harap ia akan terus menurun,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.
Jelasnya lagi, daripada 300 individu yang ditahan semalam, seramai 252 individu direman manakala 48 individu lagi dibebaskan dengan jaminan. Manakala seramai 518 individu dituduh di mahkamah semalam, dengan jumlah tangkapan keseluruhan individu yang ingkar PKP dari 18 Mac hingga semalam adalah 7,205 orang.
Mengenai kompaun RM1,000 yang mula dilaksanakan polis semalam, beliau memaklumkan, sebanyak 95 notis kompaun itu diserahkan kepada individu yang didapati ingkar arahan PKP dan mereka akan dihadapkan ke mahkamah jika gagal membayarnya dalam tempoh dua minggu.
“Mereka yang ingkar PKP akan dibawa ke balai polis sebelum diberikan kompaun dan bayaran perlu diselesaikan di Pejabat Kesihatan Daerah atau balai polis berhampiran dalam tempoh dua minggu selepas tarikh ia dikeluarkan,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.