Disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terpaksa dilanjutkan sehingga 28 April ini, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) membuat keputusan untuk terus menggantung operasinya di seluruh negara sehingga PKP tamat. Pada 3 April lalu, MBM telah memaklumkan untuk memanjangkan tempoh bagi servis dan warantinya agar ia tidak mendatangkan kegusaran di kalangan para pelanggannya.

MBM memaklumkan, syarikatnya akan memberikan penambahan masa bagi servis dan waranti sepanjang tempoh PKP. Untuk kenderaan yang sepatutnya diservis di antara 18 Mac hingga 28 April, akan diberikan tempoh tambahan sehingga 60 hari dari tarikh akhir PKP.

Mengenai waranti pula, MBM berkata untuk kenderaan yang warantinya berakhir antara 18 Mac hingga 30 Jun, juga akan dilanjutkan selama 60 hari selepas 30 Jun.

Sepanjang tempoh PKP ini, jika ada pelanggan yang memerlukan perkhidmatan kecemasan untuk kenderaan mereka atau pun perkara yang berkaitan, bolehlah menghubungi pusat khidmat pelanggan MBM di talian bebas tol 1-800-88-1133.