Volvo Cars Malaysia telah memberikan peningkatan kepada model XC60 tahun 2020 pasaran Malaysia, melihatkan sedikit perubahan pada senarai kelengkapan yang diberi. Jumlah varian dan harga masih sama seperti sebelum ini iaitu RM298,888 untuk T5 Momentum, RM333,888 untuk T8 Twin Engine Inscription dan RM343,888 untuk T8 Twin Engine Inscription Plus.
Pada bahagian penggerak, kedua-dua varian T8 Twin Engine kini datang dengan bateri baru berkapasiti 11.6 kWh, menggantikan unit 10.4 kWh sebelum ini. Peningkatan ini adalah sama seperti yang dilakukan pada XC90 facelift November lalu.
Tetapan lain tidak berubah, dengan ia masih lagi dipadankan bersama enjin petrol Drive-E empat silinder turbo 2.0 liter serta padanan transmisi automatik lapan kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 320 hp dan 400 Nm tork.
Sementara enjin itu menghantar kuasa kepada roda hadapan, motor elektrik 87 hp dan 240 Nm pula menghantar kuasa kepada roda belakang untuk menghasilkan pacuan semua roda – jumlah keseluruhan kuasa adalah 407 hp dan 640 Nm. Varian T5 juga digerakkan oleh enjin empat silinder 2.0 liter turbo serta transmisi automatik lapan kelajuan, tetapi mempunyai kuasa 254 hp dan 350 Nm tork yang dihantar kepada semua roda.
Model XC60 tahun 2020 juga kini ditawarkan dalam dua warna baru iaitu Osmium Grey dan Bright Silver, menyertai pilihan warna Denim Blue, Onyx Black dan Crystal White. Warna Maple Brown dan Luminous Sand pula telah dikeluarkan daripada senarai.
Pada bahagian dalam, kedua-dua varian T5 dan T8 sekarang datang dengan jaring poket pada bahagian tepi konsol tengah sebelah penumpang. Kemudiannya, tombol gear kristal menyala Orrefors pada varian T8 turut dipertingkat dengan rekaan baru sama seperti pada XC90, S90 dan V90 facelift. Larasan kuasa untuk tempat belakang kini sudah tiada.
Selain daripada perubahan yang dinyatakan, senarai kelengkapan lain masih lagi sama, di mana semua varian masih dilengkapi dengan City Safety, panel instrumen digital 12.3 inci, sistem infotainmen Sensus Connect sembilan inci, kawalan pendingin hawa dua zon dengan corong di belakang, lampu LED dan tempat duduk balutan kulit.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.