Kontena khas unit bergerak saringan Covid-19 rekaan anak tempatan — prototaip pertama siap dalam 10 hari

Kontena khas unit bergerak saringan Covid-19 rekaan anak tempatan — prototaip pertama siap dalam 10 hari

Dalam keadaan yang mendesak dan di luar jangka seperti sekarang, banyak cara sebenarnya untuk kita memainkan peranan masing-masing, tak kisahlah sekecil mana pun. Bahkan, dalam berdepan dengan penularan Covid-19, peranan yang paling kecil inilah yang menjadi paling penting untuk memutuskan rantaian jangkitan – tentulah, untuk kita semua kekal duduk di rumah. Ini perkara yang paling penting untuk dilakukan.

Namun, bagi sekumpulan profesional ini, mereka menyalurkan kepakaran dan pengetahuan ke arah perkara lain, iaitu menghasilkan apa yang dipanggil unit mobile ujian Covid-19, atau COMBAT C19MY. Ini merupakan sebuah projek kebajikan bertujuan untuk membantu memperbanyakkan lagi pusat ujian dan saringan bagi wabak Covid-19. Dalam kes ini, ia dirancang dan direka untuk menjadi unit bergerak.

Konsep rekaan digital dan grafik yang anda lihat ini merupakan salah seorang daripada mereka, yang membantu menyumbang tenaga dan kreativiti mengikut kepakaran masing-masing. Beliau sebelum ini pernah kami tampilkan di ruangan ini; siapa lagi kalau bukan pereka tempatan, Saharudin Busri. Masih ingat dengan rekaan yang pernah dihasilkan beliau sebelum ini, misalnya Proton Suprima X, Proton Suprima R dan Proton Bayu?

Jangan salah sangka, Combat C19MY ini bukan sekadar rekaan konsep semata-mata, sekurang-kurangnya bagi kontena yang dijadikan makmal ujian berkenaan. Unit prototaip pertamanya sudah pun siap, memakan masa hanya dalam 10 hari dan kini berada di Hospital UiTM Sungai Buloh. “Matlamat asalnya adalah untuk membantu petugas-petugas frontliner menyaring pesakit tanpa membahayakan diri mereka sendiri,” jelas Saharudin.

Bagi beliau sendiri, penglibatannya di dalam projek ini antara lain untuk menunjukkan kepentingan elemen rekaan industri dalam apa saja usaha yang dilakukan. “Semuanya cuba difikir dan dibayangkan secara menyeluruh, biar hasil yang kita keluarkan nanti setanding dengan tahap yang ada di persada antarabangsa,” tambah beliau.

Bagi rekaan drone dan trak yang ditampilkan pula, itu pun bukan sekadar suka-suka. Hasratnya adalah untuk membayangkan pembangunan masa hadapan bagi projek ini sekiranya ia nanti semakin berkembang dan mendapat sambutan dan kelulusan untuk beroperasi. Maksudnya, kelompok berkenaan ketika ini sedang mempersiap idea dan konsep yang menyeluruh untuk membantu pihak-pihak terlibat di dalam waktu krisis. Bila diperlukan nanti, semua fungsi ini ada untuk dimanfaatkan.

“Sebaik sahaja prototaip pertama ini siap, kami berharap agensi bertanggungjawab dan pihak berwajib akan menilai dan memberi akreditasi prototaip COMBAT ini untuk membolehkan kami memasuki fasa pengeluaran kelompok pula,” memetik satu kenyataan rasmi mereka. Selain itu, mereka juga sedang membangunkan sistem pengumpulan data dan pemantauan Pesakit Dalam Siasatan (PUI) melalui kemudahan yang sama.

Hal-hal beginilah yang menjadi hikmah di sebalik musibah yang melanda. Rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang bersedia untuk berganding bahu dan menyumbang kepakaran masing-masing dalam maksud untuk mendepani apa saja masalah yang muncul kesan daripada Covid-19. Kepada kelompok profesional yang terlibat di sebalik COMBAT, kami ucapkan terima kasih di atas usaha dan semangat sukarela yang ditunjukkan.

Kepada anda pula, panjangkanlah perkara dan usaha murni ini supaya sampai kepada pengetahun pihak berkuasa kesihatan supaya usaha ini boleh diperkembang dari semasa ke semasa dan memberi manfaat kepada semua warga. Sama-sama kita mainkan peranan kita, tak kiralah sekecil mana. Kekal selamat semua.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required