Dalam tempoh 12 jam selepas aplikasi Gerak Malaysia dibuka untuk orang ramai, sebanyak 300,000 pendaftaran individu telah diterima dan angka itu dijangka meningkat menjelang 1 Mei ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM), daripada jumlah tersebut, 100,000 individu memohon untuk mendapatkan permit pergerakan bagi melakukan perjalanan rentas negeri kerana terkandas di kampung halaman dan tidak sempat pulang ke rumah masing-masing ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata amat perlu bagi polis memastikan bahawa setiap permohonan yang diterima adalah untuk tujuan yang dibenarkan sahaja, supaya perancangan pergerakan antara negeri dapat berjalan dengan lancar dan tidak menyulitkan pengguna-pengguna lebuh raya atau jalan raya yang terbabit.
“Dalam tempoh yang ditetapkan, pihak polis akan memantau dan menilai trend permohonan yang diterima melalui aplikasi tersebut. Hasil pemantauan dan penilaian akan dimaklumkan kepada kerajaan agar tarikh pergerakan seperti mana yang diumumkan semalam dapat dikaji semula dan diselaraskan mengikut jumlah permohonan yang diterima,” katanya menerusi kenyataan tersebut.
Beliau turut menasihatkan agar orang ramai dapat memberi kerjasama dengan hanya memohon untuk mendapatkan permit pergerakan atas sebab sahih seperti yang ditetapkan.
“Kerjasama semua pihak adalah penting bagi memastikan sistem apliksasi tersebut dapat dimanfaatkan oleh mereka yang perlu untuk melakukan pergerakan antara negeri. Perkembangan lanjut mengenai jadual pergerakan antara negeri tersebut akan diumumkan kelak,” katanya.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selepas mendapat data dan maklumat daripada permohonan orang ramai itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan PDRM akan membincangkan Prosedur Operasi Standard (SOP) termasuk menetapkan tarikh pergerakan tersebut.
Semalam Malaysia Goverment Call centre (MyGCC) telah mengeluarkan info grafik mengenai dua Q&A (question & answer) mengenai permohonan pergerakan rentas negeri. Menurut MyGCC, permohonan rentas negeri tersebut hanyalah untuk satu kali perjalanan iaitu sehala sahaja. Sebagai contoh, jika ada pemohon yang ingin balik ke kampung untuk mengambil anak dan isteri kemudian pulang ke rumah semula, permohonan tersebut adalah tidak dibenarkan sama sekali.
Soalan kedua pula mengenai penggunaan nombor telefon orang lain untuk mendaftar aplikasi Gerak Malaysia, MyGCC menjawab, “Tidak. Anda adalah tidak digalakkan atau disyorkan untuk berbuat demikian. Tujuan aplikasi ini adalah untuk mengesan nombor telefon bimbit individu. Dengan menggunakan nombor telefon bimbit orang lain, ia menidakkan tujuan sebenar aplikasi ini.”
Jadi, harap orang ramai tidak menyalahgunakan kepercayaan pihak kerajaan yang telah memberikan kebenaran untuk melakukan perjalanan rentas negeri atas tujuan kembali ke rumah masing-masing selepas terkandas di kampung. Permohonan ini adalah sangat penting untuk mendapatkan kebenaran pihak berkuasa sebelum memulakan perjalanan. Di mana apabila permohonan diluluskan, satu kod QR akan diberikan menerusi e-mel dan ia akan diperlukan sekiranya anda ditahan di sekatan jalan raya. Hanya tunjukkan kod QR tersebut kepada pegawai polis yang bertugas untuk diimbas (scan).
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.