Susulan daripada pengumuman Bank Negara Malaysia (BMN) Khamis lalu berkaitan caj faedah tambahan yang akan dikenakan bagi peminjam yang mengambil moratorium atau penangguhan pembayaran balik pinjaman bagi tempoh enam bulan bermula 1 April hingga 30 September 2020 seperti yang diumumkan penghujung Mac lalu, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul ada saranan terbaru kepada bank.

Melalui hantara di Facebook semalam, beliau meminta pihak bank untuk melupuskan semula apa yang mereka panggil sebagai kadar faedah terakru (bagi pinjaman sewa beli) atau keuntungan (bagi pembiayaan Islamik kadar tetap) sepanjang tempoh enam bulan moratorium berkenaan.

Saranan ini diutarakan selepas mendengar permintaan rakyat terbanyak, yang terkesan secara langsung dengan tindakan itu. Menurut beliau, sebelum ini telah berlaku kekeliruan umum berkenaan caj kadar faedah tambahan moratorium berkenaan, dengan menyebut itu “disebabkan pelbagai sumber yang membawa maklumat kurang tepat.”

Sebaliknya, sepanjang pemerhatian kami berkaitan perkembangan berkaitan, FAQ yang dikeluarkan oleh BNM bertarikh kemaskini 27 Mac 2020 lalu memang dengan jelas menunjukkan bahawa hal “tiada kadar faedah tambahan dikenakan” ada dinyatakan dengan jelas. Anda boleh rujuk liputan kami sebelum ini.

Bagaimanapun, dalam kemaskini terbaru senarai FAQ yang sama bertarikh 1 Mei 2020 kelmarin, bahagian berkenaan telah dikeluarkan. Bagi contoh kadar faedah dan pengiraan yang terlibat juga boleh dirujuk dalam laporan terdahulu yang sama seperti pautan di atas.

“Menurut Akta Bank Negara 2009, isu ini berada di bawah bidang kuasa BNM. Namun yang demikian, Kementerian Kewangan telah memulakan langkah proaktif mencari penyelesaian kemelut ini melalui perbincangan bersama BNM dan bank-bank untuk membuat keputusan yang tepat mengikut keperluan rakyat,” jelas beliau dalam kenyataan yang sama.

Tengku Zafrul juga menjelaskan bahawa Kementerian Kewangan bersedia untuk bekerjasama dengan BNM dan sektor perbankan bagi memastikan pelaksanaan saranan ini. Kerajaan sentiasa peka terhadap cetusan hati nurani rakyat, terutamanya dari golongan B40 dan M40, dan mengambil berat perkara ini.

“Dalam keadaan ekonomi yang serba mencabar disebabkan oleh wabak COVID-19, saya amat berharap pandangan ini dapat diberi pertimbangan yang sewajarnya oleh BNM dan juga institusi-institusi kewangan dalam negara,” tambah beliau. Moga ada penyelesaian terbaik yang dapat menguntungkan semua pihak berkaitan perkara ini. Kekal tenang dan selamat, kita tunggu perkembangan selanjutnya nanti.