Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memaklumkan, polis sedang meneliti untuk membenarkan rakyat yang terkandas di kampung dan berhasrat pulang ke kediaman masing-masing dengan menggunakan pengangkutan awam.
Walau bagaimana pun, katanya, buat masa ini hanya kenderaan persendirian dibenarkan untuk perjalanan rentas negeri bagi tujuan itu.
“Kenderaan persendirian sudah ditetapkan, tetapi kenderaan (pengangkutan) awam, polis sedang membuat kajian secara terperinci jumlah kenderaan awam diperlukan kerana pergerakan antara negeri masih tidak dibenarkan.
“Oleh itu, pengangkutan awam seperti bas ekspres dan sebagainya belum ada lagi. Saya percaya polis sedang meneliti perkara ini dan bagaimana nak selesaikan isu ini supaya mereka boleh pulang guna pengangkutan awam,” katanya seperti dilaporkan oleh Berita Harian.
Pada Isnin lalu, PDRM telah mengumumkan jadual perjalanan untuk rentas negeri mengikut tarikh yang ditetapkan iaitu mulai 7 hingga 10 Mei ini. Di mana pemohon yang bergerak dari Kuala Lumpur, dibenarkan untuk melakukan perjalanan pada 7 Mei.
Manakala pada 8 Mei pula, adalah bagi pemohon yang bergerak dari Perak, Johor dan Kelantan. Untuk yang bergerak dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang pula dibenarkan melakukan perjalanan pada 9 Mei. Dan pada 10 Mei pula, untuk pemohon yang bergerak dari Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu.
“Perlu diingatkan bahawa pergerakan untuk pulang ke kediaman masing-masing ini dilakukan pada hari yang telah ditetapkan sahaja. Selain itu, permohonan Gerak Malaysia ini juga sah digunakan dalam tempoh dua hari bermula pada tarikh yang diberi mengikut negeri.
“Contohnya anda terkandas di Perak, manakala keluarga pula terkandas di Pahang. Rumah dan tempat kerja pula di Kuala Lumpur. Anda boleh bergerak dari Perak ke Pahang untuk mengambil keluarga. Dan kemudian keesokannya boleh bergerak pulang ke Kuala Lumpur,” ujar Huzir.
Sehingga semalam, aplikasi Gerak Malaysia sudah merekodkan sejumlah 1,364,000 muat turun dan PDRM pula telah menerima 605,723 permohonan perjalanan antara negeri melalui aplikasi tersebut.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.