Volvo Car Malaysia telah mendedahkan dalam media sosial mereka bahawa model S60 T8 R-Design versi pemasangan tempatan (CKD) akan dilancar 18 Mei ini. Ia akan menggantikan versi import sepenuhnya (CBU) yang sudah berada di pasaran sejak Oktober tahun lalu pada harga RM295,888.

Pada tahun lalu, kami diberitahu model CKD ini akan mempunyai harga serta spesifikasi yang sama seperti model CBU, tetapi pastinya, kita perlu menunggu pelancaran sebenar untuk mengetahui sama ada perkara ini adalah benar.

Unit penggerak plug-in hybrid T8 Twin Engine AWD berkemungkinan akan dikekalkan pada S60 CKD, dan ia terdiri daripada enjin petrol empat silinder turbo supercharge 2.0 liter Drive-E berkuasa 320 hp dan 400 Nm tork, unit crankshaft-integrated starter/generator (CISG) dan transmisi automatik lapan kelajuan Aisin AW TG-81SD.

Enjin pembakaran dalaman ini menyampaikan kuasa kepada roda hadapan, sementara motor elektrik 87 hp/240 Nm pula digunakan untuk kuasa kepada roda belakang, sekaligus memberikan pacuan semua roda dan kuasa keseluruhan 407 hp dan 640 Nm tork. Untuk prestasi, S60 T8 boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 4.4 saat, mencecah kelajuan maksimum 250 km/j dan penggunaan bahan api 2.0l/100 km.

Motor elektrik ini mendapat kuasa daripada bateri lithium ion 11.6 kWh yang diletakkan di bahagian tengah kenderaan dan mampu memberikan jarak gerak menggunakan elektrik sahaja 49 km. Model sedan juga datang dengan pengecas 3.7 kW yang boleh digunakan dengan sambungan Type 2 di stesen pengecas – mengambil masa sekitar tiga jam untuk penuh.

Kelengkapan lain yang mungkin juga akan digunakan pada model CKD adalah seperti Dynamic Chassis dengan penyerapan pasif, pakej penggayaan R-Design, rim aloi 19 inci, sistem infotainmen Sensus Connect, panel instrumen digital 12.3 inci, head-up display, pendingin hawa kawalan dua zon dan pelbagai sistem keselamatan dan bantuan pemandu lain.

GALERI: S60 T8 R-Design (CBU)