Akhirnya, Volvo S60 generasi ketiga telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia malam ini selepas muncul buat pertama kali pada Jun tahun lalu, dan ia hanya hadir dalam satu varian iaitu T8 Twin Engine R-Design. Seperti model-model Volvo lain, unit-unit awalan ini adalah diimport sepenuhnya (CBU), dan selepas ini versi pemasangan tempatan pula akan tampil dengan spesifikasi yang sama.

Model ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM295,888, termasuk waranti pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan. Lima warna ditawarkan untuk sedan kacak ini iaitu Fusion Red, Crystal White, Birch Light, Onyx Black dan Pebble Grey.

Sama seperti abangnya S90, serta kembar wagonnya V60, sedan S60 ini diasaskan dari platform Scalable Product Architecture (SPA) dan ia akan bersaing dengan lawannya dari Jerman seperti Mercedes-Benz C-Class, BMW 3 Series dan Audi A4 dalam pasaran.

Sekali imbas, penggayaan luaran S60 ini adalah seiras dengan S90, namun dengan saiz yang lebih kompak, model ini nampak lebih lincah dan lebih sporty. Ia masih lagi diberikan bampar hadapan dengan apron yang agresif, gril enam-poin bersama logo iron mark, tidak ketinggalan juga sepasang lampu hadapan LED dengan lampu nyalaan siang LED bina dalam signatur “Tukul Thor”.

Bahagian belakang S60 ini juga menampilkan rekaan yang tidak jauh beza dari S90 terutama pada bentuk lampu belakang. Namun ruang letak nombor plat pendaftaran pada S60 ini diletakkan pada penutup but, berbanding S90 yang diletakkan di bampar. Tulisan ‘Volvo’ juga diletakkan lebih keatas, bersama spoiler but yang lebih menyerlah.

Dengan kemasan pakej R-Design, model pasaran Malaysia ini hadir dengan kit luaran paling agresif, terdiri dari liang kemasukan pada bampar yang lebih besar dan gril dengan elemen pin – kedua-duanya dalam kemasan hitam, manakala jalur perak turut diberikan pada sekeliling gril.

Diffuser lebih garang turut dapat dilihat di belakang, yang turut menempatkan perumah tip ekzos kemasan krom yang berbentuk trapezoid. Gaya versi R-Design ini dilengkapkan dengan rim lima jejari kembar tiga kemasan diamond cut/matte black, dibaluti tayar 235/40R19.

Dalam kabin, S60 diberikan rekaan papan pemuka hampir seiras dengan S90 terutamanya skrin infotaimen Sensus Connect bersaiz sembilan-inci dan sepasang liang penghawa dingin menegak pada bahagian tengah pemuka. Sistem infotainmen tersebut dihubungkan kepada sistem bunyi Harman Kardon dengan 14-pembesar suara berkuasa 600-watt.

Pemandu pula akan dibekalkan maklumat dari kluster informasi digital sepenuhnya menggunakan skrin bersaiz 12.3-inci, dan keseragaman turut diteruskan pada bahagian konsol tengah yang menampilkan rekaan tombol gear, suis penghidup enjin, butang pilihan mod pemanduan, suis brek parkir elektronik bersama butang auto hold serta pemegang cawan dan juga perehat tangan yang turut diberikan ruang storan di bawahnya sama seperti S90.

Kelengkapan standard lain yang turut dibekalkan termasuk tempat duduk R-Design balutan kulit Nappa hitam/fabrik Nubuck kemasan Charcoal Black, kemasan-kemasan dengan elemen logam mesh, sistem pendingin hawa dua-zon, bumbung panaromik, Park Assist Pilot, paparan pemantau sekitar 360-darjah, tempat duduk hadapan larasan berkuasa dengan fungsi memori, set pedal dan tuil penukar gear R-Design serta sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin.

Sama seperti model-model T8 Twin-Engine lain, roda hadapan S60 ini digerakkan oleh enjin Drive-E 2.0 liter empat-silinder yang disuap dengan pengecas turbo dan supercharger berkuasa 320 hp/400 Nm, bersama motor penghidup/generator yang bersepadu dengan aci engkol dan juga kotak gear Aisin AW TG-81SD lapan-kelajuan automatik.

Gandar belakang juga mempunyai pemacunya tersendiri terdiri dari motor elektrik berkuasa 87 hp/240 Nm, menjadikan kuasa keseluruhan S60 T8 Twin Engine ini adalah 407 hp/640 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.4 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 250 km/j. Ia juga mencatatkan penggunaan bahan api serendah 2 liter untuk perjalanan 100 km.

Motor elektrik S60 T8 ini mendapat suapan bateri lithium-ion 11.6 kWj yang diletakkan di bawah terowong transmisi, iaitu diposisikan menegak pada bahagian tengah lantai kereta ini, memberikan jarak gerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya tanpa enjin petrol dihidupkan lebih dari 49 km.

Sebagai model plug-in hybrid (PHEV), bateri berkenaan turut boleh dicas menggunakan stesen pengecas dengan sistem sambungan Type 2, membolehkan ia dicas penuh dalam masa tiga jam dengan kuasa 3.7 kW atau lebih. Varian R-Design ini juga dibekalkan dengan Dynamic Chassis bersama suspensi passive damping bagi memberikan pengendalian lebih sporty.

Seperti biasa juga, Volvo S60 generasi baharu turut ini tampil dengan sistem keselamatan antara yang paling canggih dalam kelasnya. Ia terdiri dari enam beg udara (depan, belakang dan tirai), brek kecemasan automatik City Safety, Pilot Assist, Bantuan Kekal Lorong, Amaran dan Sokongan Pengelak Pelanggaran Hadapan dan Belakang, Driver Alert Control (DAC), Pengelak Keluar Jalan, Lintasan Trafik Belakang dan pelbagai lagi.