Volvo S60 2019 didedahkan – versi T8 Twin Engine Polestar Engineered hasilkan 415 hp, tork 670 Nm

Volvo S60 2019 didedahkan – versi T8 Twin Engine Polestar Engineered hasilkan 415 hp, tork 670 Nm

New Volvo S60 R-Design exterior

Jika anda rasa sedan Volvo S90 terlalu besar, kini jenama dari Sweden berkenaan melancarkan pula sedan dengan saiz ‘sedap-sedap mata memandang’ iaitu S60 generasi baharu. Model 2019 ini didedahkan bersama kilang pertama Volvo di Amerika Syarikat yang terletak di Charleston, Carolina Selatan.

Sedan yang diasaskan dari platform Scalable Product Architecture (SPA) sama dengan versi wagon V60 yang didedahkan awal tahun ini berkenaan bakal bersaing dengan lawannya dari Jerman seperti Mercedes-Benz C-Class, BMW 3 Series dan Audi A4 dalam pasaran kelak. Ia merupakan model pertama Volvo yang dipasang di Amerika, dan hanya dijana oleh enjin petrol, tanpa pilihan enjin diesel.

Volvo menawarkan empat versi janakuasa untuk S60 generasi baharu ini iaitu T5, T6 AWD, T6 Twin Engine AWD dan T8 Twin Engine AWD yang kesemuanya diasaskan dari enjin 2.0 liter Drive-E bersama gabungan kotak gear automatik lapan-kelajuan dari Aisin. Bagi model asas T5, enjin Drive-E tersebut dibantu sebuah pengecas turbo tunggal bagi menghasilkan kuasa 245 hp dan tork maksima 350 Nm, memacu hanya roda hadapan.

Volvo S60 2019 didedahkan – versi T8 Twin Engine Polestar Engineered hasilkan 415 hp, tork 670 Nm

New Volvo S60 R-Design exterior

Model T6 AWD pula turut dibantu sebuah lagi supercharger (bersama pengecas turbo) bagi mengekstrak 310 hp dan tork maksima 400 Nm, manakala kuasa berkenaan dialirkan ke kesemua roda menerusi sistem AWD.

Versi T6 Twin Engine pula masih mengekalkan enjin yang sama namun hanya memacu roda hadapan. Tetapi model ini turut diberikan sistem hibrid plug-in yang terdiri motor elekktrik pada gandar belakang yang bukan sahaja membuatkan ia sebagai model AWD, malah menghasilkan kuasa akhir 340 hp dan tork maksima 590 Nm, sama seperti pada model wagon V60.

S60 paling berkuasa untuk model generasi ini adalah dari model T8 Twin Engine, menampilkan sistem hibrid plug-in yang lebih berkuasa, membekalkan 390 hp dengan tork maksima 640 Nm. Tak cukup? pembeli juga ditawarkan dengan pakej tingkat taraf Polestar Engineered yang menghasilkan kuasa 405 hp bersama tork 670 Nm, eksklusif untuk versi T8 ini.

Volvo S60 2019 didedahkan – versi T8 Twin Engine Polestar Engineered hasilkan 415 hp, tork 670 Nm

New Volvo S60 Polestar Engineered

Pakej Polestar berkenaan juga hadir sekali dengan set rim yang lebih agresif serta sistem brek dan suspensi yang dipertingkat, dan sudah tentu kotak komputer enjin yang ditala semula.

Menurut Volvo, pasaran Amerika menerima jumlah kuasa yang sedikit berbeza dari model-model pasaran lain, dimana T5 menjana 250 hp, T6 316 hp, T8 400 hp manakala T8 Polestar Engineered menghasilkan 415 hp.

Ciri lain, S60 ini masih dibekalkan sistem elektronik sama seperti wagon V60 termasuk sistem infotaimen Sensus Connect dan juga sistem keselamatan dan bantuan pemanduan City Safety dan Intellisafe.

Volvo S60 2019 didedahkan – versi T8 Twin Engine Polestar Engineered hasilkan 415 hp, tork 670 Nm

New Volvo S60 Polestar Engineered

Sekali imbas, penggayaan luaran S60 ini adalah seiras dengan abang besarnya iaitu Volvo S90, namun dengan saiz yang lebih kompak, model ini nampak lebih lincah dan lebih sporty. Ia masih lagi diberikan bampar hadapan dengan apron yang agresif, gril enam-poin bersama loga iron mark, tidak ketinggalan juga sepasang lampu hadapan LED dengan lampu nyalaan siang LED bina dalam signatur “Tukul Thor”.

Volvo juga menawarkan pakej kemasan yang boleh dipilih yang terdiri dari Momentum, Inscription dan R-Design. Bagi versi Momentum, ia boleh dikenali dengan kemasan hitam pada jalur gril dan perumah lampu kabus, manakala versi Inscription menerima kemasan krom pada bahagian yang sama.

Untuk R-Design pula, seperti biasa ia akan kelihatan lebih garang. Jalur pada gril hadapan digantikan dengan elemen pin-pin rata untuk pakej ini, manakala bampar hadapan pula menampilkan kemasukan udara yang lebih lebar dan rendah. Walau bagaimanapun, rupa baharu ini diberikan perumah lampu kabus yang lebih kecil bagi menyerlahkan ‘otot-otot’ pada bampar berkenaan.

Bahagian belakang S60 ini juga menampilkan rekaan yang tidak jauh beza dari S90 terutama pada bentuk lampu belakang. Namun ruang letak nombor plat pendaftaran pada S60 ini diletakkan pada penutup but, berbanding S90 yang diletakkan di bampar. Tulisan ‘Volvo’ juga diletakkan lebih keatas, bersama spoiler but yang lebih menyerlah.

Bampar belakang S60 turut diberikan reflektor/lampu kabus pada kedua-dua sisi, manakala kemasan seakan diffuser pada bahagian bawah juga menempatkan dua perumah ekzos; model Momentum dan Inscription diberikan rekaan lebih ringkas, manakala R-Design menerima versi yang lebih kompleks dan sporty.

Masuk ke bahagian kabin, S60 turut diberikan rekaan hampir seiras dengan V60, termasuk skrin infotaimen dan sepasang liang penghawa dingin menegak pada bahagian tengah pemuka, bersama kluster informasi digital sepenuhnya menggunakan skrin bersaiz 12.3-inci. Roda stereng pula direka dengan berberapa rekaan bagi disesuaikan dengan pakej kemasan berbeza.

Volvo S60 2019 didedahkan – versi T8 Twin Engine Polestar Engineered hasilkan 415 hp, tork 670 Nm

New Volvo S60 Polestar Engineered

Bahagian konsol tengah juga hampir serupa, dengan menempatkan tombol gear, pemilih mod pemanduan, brek parkir elektronik, suis enjin, pemegang cawan dan juga perehat tangan yang turut diberikan ruang storan di bawahnya. Tempat duduk direka dengan pelbagai versi, dan disesuaikan dengan versi kemasan yang ditawarkan. S60 generasi baharu ini juga diberikan sistem bunyi dari Bowers & Wilkins serta penghawa dingin sendiri untuk kabin belakang.

Bagi model Polestar Engineered, kebanyakkan komponen dan penggayaan dikongsi dengan model R-Design kecuali logo-logo Polestar pada tempat-tempat sepatutnya serta angkup brek berwarna emas. Ia juga menerima balutan kulit pada perehat lutut pemandu serta perehat tangan dengan rekaan tersendiri. Ciri istimewa lain untuk model ini termasuk serlahan jahitan pada roda stereng, pedal aluminium, tombol gear kristal dan juga tali pinggang keledar berwarna emas.

Selain dari jualan secara konvensional, S60 turut ditawarkan dalam servis sewaan Care by Volvo. Menerusi kaedah ini, pelanggan hanya perlu membayar yuran pada kadar rata setiap bulan yang turut termasuk kos selenggara dan juga insuran.


GALERI: Volvo S60 Inscription 2019

GALERI: Volvo S60 R-Design 2019

GALERI: Volvo S60 Polestar Engineered 2019

GALERI: Ujian casis dan pelanggaran Volvo S60 2019

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required