Setelah hampir setahun SUV XC60 generasi baharu diperkenalkan, kini tiba masa pula versi wagon model ini didedahkan – Volvo V60 2018. Kereta ini akan membuat kemunculan sulung awam pertamanya di Geneva Motor Show yang akan berlangsung bulan hadapan, dan sebelum itu perincian awalnya disiarkan oleh Volvo terlebih dahulu.

Model ini diletakkan dibawah model wagon flagship V90 yang telah diperkenalkan pada September 2016 dan tiba di Malaysia Mac tahun lalu. Ia juga berkongsi platform Scalable Product Architecture (SPA) yang sama dengan V90 tetapi dibina sedikit kecil. Dengan dimensi 4,761 mm panjang, 1,850 mm lebar, 1,427 mm tinggi dan jarak roda 2,872 mm, V60 sebenarnya 175 mm lebih pendek dan 48 mm lebih rendah dari V90.

Untuk rupa, muka V60 ini masih kekal dengan rekaan signatur Volvo terkini – menampilkan sepasang lampu hadapan tirus dengan lampu nyalaan siang LED “Thor Hammer” dan gril “iron mark” dengan elemen jalur menegak. Namun, bampar standard V60 direka lebih agresif dari V90 walaupun bukan dari pakej R-Design, sesuai dengan badannya yang lebih kecil dan kelihatan lebih atletik.

Walaupun dengan saiz yang lebih pendek, V60 masih direka kekal dengan bayangan sisi menampilakan hud panjang, serta bumbung tirus yang rendah, bersama garis bahu yang kelihatan tegap. Lampu belakang wagon ini pula direka seiras seperti abangnya, V90 dan SUV XC90.

Masuk ke kabin, anda disajikan rekaan yang seiras dengan XC60. Papan pemuka wagon ini diberikan skrin sesentuh menegak untuk sistem infotainmen Sensus, diletakkan pada bahagian tengah dan diapit dengan liang penghawa dingin juga direka menegak. Ia turut disokong dengan fungsi Apple Carplay dan Android Auto serta broadband tanpa wayar 4G.

Sejak dari zaman Volvo Duett, 122 Amazon wagon, 245, 945, 855 hingga kini, ruang kargo wagon keluaran Volvo tidak pernah mengecewakan. V60 generasi baharu ini menampilkan ruang kargo dengan kapasiti 529 liter, sedikit lebih kecil dari V90 (560 liter), tetapi masih lagi lebih besar dari Mercedes-Benz E-Class Estate (490 liter) dan BMW 3 Series Touring (495 liter). Jika anda perlukan ruang lebih besar, hanya perlu lipat tempat duduk belakang dan ruang sebesar 1,364 liter sedia untuk digunakan.

New Volvo V60 exterior

Volvo V60 2018 ditawarkan dengan satu pilihan enjin petrol, dua enjin diesel berbeza serta dua varian unit janakuasa hibrid plug-in. Untuk model janaan petrol sepenuhnya, V60 hadir dengan versi T6 AWD menampilkan enjin empat-silinder Drive-E 2.0 liter yang disuap dengan pengecas turbo serta supercharger berkuasa 310 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 400 Nm bermula 2,200 hingga 4,800 rpm.

Enjin ini digandingkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan bersama sistem pacuan semua roda, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.8 saat. Penggunaan bahan api gabungan pula dicatatkan antara 8.1 hingga 9.0 liter untuk setiap 100 km mengikut prosedur ujian Worldwide Harmonised Light Vehicles Test Procedure (WLTP) baharu.

Untuk versi diesel pula, V60 diberikan pilihan sama ada dalam versi D3 atau D4. Kedua-duanya diberikan enjin 2.0 liter turbodiesel tetapi diberikan talaan berbeza. Versi D3 ditala bagi membolehkan ia mengerah 150 hp/320 Nm dan mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 9.9 saat dan penggunaan bahan api gabungan antara 5.2 hingga 6 liter untuk 100 km.

Manakala D4 pula boleh mengekstrak 190 hp/400 Nm, membolehkan ia memecut 0-100 dalam 7.9 saat serta penggunaan bahan api antara 5.1 hingga 5.9 liter untuk 100 km. Kedua-dua enjin diesel ini digandingkan dengan pilihan kotak gear automatik atau manual enam-kelajuan, serta hadir dengan hanya versi pacuan hadapan.

Bagi versi hibrid plug-in, pilihan diberikan dalam versi T6 Twin Engine atau T8 Twin Engine. Versi T6 Twin Engine menggabungkan enjin 2.0 liter Drive-E yang hanya disuap dengan pengecas turbo berkuasa 253 hp/350 Nm. Ia digandingkan kotak gear automatik lapan kelajuan, penghidup/generator bersepadu dengan aci engkol (CSIG), sepasang motor berkuasa 117 hp/240 Nm pada gandar belakang dan suapan bateri lithium-ion 10.4 kWj. Secara keseluruhan, ia menghasilkan kuasa maksima gabungan 340 hp/590 Nm.

Model T8 Twin Engine pula dijana enjin petrol 2.0 liter Drive-E, tetapi desakan pengecas turbo pada enjin ini turut dibantu dengan sebuah lagi unit supercharger, menghasilkan kuasa 303 hp/400 Nm (berbanding T8 pada XC60, XC90 dan V90 berkuasa 320 hp/400 Nm). Sistem hibrid plug-in pada versi ini masih sama dengan versi T6 Twin Engine dan menghasilkan jumlah kuasa keseluruhan 390 hp/640 Nm.

Namun menurut Volvo, walaupun T6 Twin Engine kurang berkuasa berbanding versi T8 Twin Engine, kedua-dua model ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam catatan masa yang sama iaitu 4.8 saat, serta penggunaan bahan api yang juga sama iaitu 2.1 liter untuk 100 km perjalanan serta jarak perjalanan menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya sejauh 45 km dengan satu cas bateri penuh.

Untuk keselamatan, V60 generasi baharu ini datang dengan kit bantuan pemanduan sama seperti XC60 dan juga model-model siri 90, termasuk City Safety bersama brek kecemasan automatik yang mampu mengesan pergerakan pejalan kaki, penunggang basikal dan juga kenderaan-kenderaan besar. Ia juga disertakan dengan sistem brek automatik yang bukan sahaja boleh menghentikan kenderaan, malah turut boleh mengawal stereng bagi mengelakkan pelanggaran dari berlaku – pertama seumpamanya di dunia.

Wagon V60 ini turut diberikan sistem pemanduan separa-automatik Pilot Assist yang menampilkan prestasi meredah selekoh, pengelak keluar dari jalan, pengelak masuk ke laluan bertentangan serta ciri bantuan kawalan stereng lain yang diperbaiki. Sistem Amaran Lintasan Trafik dengan brek automatik pula ditawarkan sebagai opsyen.

Untuk pasaran Eropah, V60 turut disenaraikan dalam servis Care By Volvo baharu yang diperkenalkan ketika pelancaran SUV kompak XC40. Servis ini membolehkan pelanggan memandu kenderaan-kenderaan dari Volvo menerusi bayaran sewa bulanan kadar rata berbandng sewaan atau belian secara terus. Menurut Volvo, servis ini menjadikan pemilikan kereta lebih telus, mudah dan tidak rumit, sama seperti untuk memiliki telefon pintar.