Tak berapa lama sebelum ini, Volkswagen Golf GTI Mk8 telah didedahkan. Sekarang, muncul pula edisi istimewa bagi model hot hatch berkenaan. Spyshot dari litar Nürburgring ini memperlihatkan imej-imej versi TCR, yang mula diperkenalkan pada model Mk7.5 sebelum ini dan ternyata mendapat sambutan untuk diteruskan lagi.

Sekali pandang, ia mungkin nampak sama sahaja dengan GTI standard, tetapi ada beberapa perincian yang diubah dari sudut luarannya. Antaranya, bahagian bawah bampar depan yang digunakan tampil lebih agresif dengan bukaan udara penuh. Pada versi ini, tiada lagi lampu kabus bentuk X GTI.

Perbezaan lain yang agak ketara adalah penggunaan spoiler besar di belakang, serta bukaan pada bampar yang hadir dengan rekaan semacam diffuser yang mengelilingi dua muncung ekzos yang ada. Model yang masih dalam pembangunan ini menggunakan rim 19-inci Pretoria aloi yang sama dari Golf Mk7.5 yang menyorokkan brek lebih besar yang digunakannya.

Bagi unit enjin, versi TCR ini kemungkinan besar akan menggunakan sistem janaan kuasa yang sama seperti model sebelumnya; unit 2.0 liter TSI turbocas dari GTI yang dipertingkatkan prestasinya. Sumber awal mencadangkan paling kurang ada pertambahan 10 PS kuasa menjadikannya 300 PS keseluruhan. Ini kuasa yang sudah memadai untuk menyaingi angka misalnya dari Honda Civic Type R. Bagi transmisi, sama seperti sebelum ini, ia akan menggunakan kotak gear DSG klac berkembar tujuh-kelajuan.

Sama ada nama TCR ini akan terus dikekalkan masih belum diketahui, memandangkan Volkswagen telah menamatkan penyertaannya di dalam World Touring Car Cup (WTCR), yang menggunakan jentra lumba TCR berkenaan sebelum ini.