Volvo S60 T8 CKD 2020 dilancarkan di M’sia – harga RM295,888 tidak berubah, kini dengan Park Assist

Volvo S60 T8 CKD 2020 dilancarkan di M’sia – harga RM295,888 tidak berubah, kini dengan Park Assist

Setelah tujuh bulan berada dalam pasaran Malaysia dalam versi diimport sepenuhnya (CBU), sedan generasi baharu Volvo S60 T8 Twin Engine akhirnya kini tampil dalam versi pemasangan tempatan (CBU). Seperti yang sudah disebutkan sebelum ini, versi yang dihasilkan di Shah Alam ini datang dengan spesifikasi yang sama, dijual juga pada harga atas jalan tanpa insuran yang sama iaitu RM295,888, termasuk waranti pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan, dan waranti bateri sistem hibrid selama lapan tahun.

Memang sukar untuk membezakan versi CBU dan CKD S60 T8 ini kerana ia tampil dengan rupa yang sama. Ia masih lagi diberikan bampar hadapan dengan apron yang agresif, gril enam-poin bersama logo iron mark, tidak ketinggalan juga sepasang lampu hadapan LED dengan lampu nyalaan siang LED bina dalam signatur “Tukul Thor”.

Bahagian belakang S60 ini menampilkan rekaan yang tidak jauh beza dari abangnya, Volvo S90 terutama pada bentuk lampu belakang. Namun ruang letak nombor plat pendaftaran pada S60 ini diletakkan pada penutup but, berbanding S90 yang diletakkan di bampar. Tulisan ‘Volvo’ juga diletakkan lebih keatas, bersama spoiler but yang lebih menyerlah.

Dengan kemasan pakej R-Design, model pasaran Malaysia ini hadir dengan kit luaran paling agresif, terdiri dari liang kemasukan pada bampar yang lebih besar dan gril dengan elemen pin – kedua-duanya dalam kemasan hitam, manakala jalur perak turut diberikan pada sekeliling gril. Lima warna ditawarkan untuk sedan kacak ini iaitu Fusion Red, Crystal White, Onyx Black dan Pebble Grey – warna Birch Light kini tidak lagi ditawarkan.

Volvo S60 T8 CKD 2020 dilancarkan di M’sia – harga RM295,888 tidak berubah, kini dengan Park Assist

Diffuser lebih garang turut dapat dilihat di belakang, yang turut menempatkan perumah tip ekzos kemasan krom yang berbentuk trapezoid. Gaya versi R-Design ini dilengkapkan dengan rim lima jejari kembar tiga kemasan diamond cut/matte black, dibaluti tayar 235/40R19.

Dalam kabin, S60 diberikan rekaan papan pemuka hampir seiras dengan S90 terutamanya skrin infotaimen Sensus Connect bersaiz sembilan-inci dan sepasang liang penghawa dingin menegak pada bahagian tengah pemuka. Sistem infotainmen tersebut dihubungkan kepada sistem bunyi Harman Kardon dengan 14-pembesar suara berkuasa 600-watt.

Pemandu pula akan dibekalkan maklumat dari kluster informasi digital sepenuhnya menggunakan skrin bersaiz 12.3-inci, dan keseragaman turut diteruskan pada bahagian konsol tengah yang menampilkan rekaan tombol gear, suis penghidup enjin, butang pilihan mod pemanduan, suis brek parkir elektronik bersama butang auto hold serta pemegang cawan dan juga perehat tangan yang turut diberikan ruang storan di bawahnya sama seperti S90.

Kelengkapan standard lain yang turut dibekalkan termasuk tempat duduk R-Design balutan kulit Nappa hitam/fabrik Nubuck kemasan Charcoal Black, kemasan-kemasan dengan elemen logam mesh, sistem pendingin hawa dua-zon, bumbung panaromik, Park Assist Pilot, paparan pemantau sekitar 360-darjah, tempat duduk hadapan larasan berkuasa dengan fungsi memori, set pedal dan tuil penukar gear R-Design serta sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin.

Volvo S60 T8 CKD 2020 dilancarkan di M’sia – harga RM295,888 tidak berubah, kini dengan Park Assist

Sama seperti model-model T8 Twin-Engine lain, roda hadapan S60 ini digerakkan oleh enjin Drive-E 2.0 liter empat-silinder yang disuap dengan pengecas turbo dan supercharger berkuasa 320 hp/400 Nm, bersama motor penghidup/generator yang bersepadu dengan aci engkol dan juga kotak gear Aisin AW TG-81SD lapan-kelajuan automatik.

Gandar belakang juga mempunyai pemacunya tersendiri terdiri dari motor elektrik berkuasa 87 hp/240 Nm, menjadikan kuasa keseluruhan S60 T8 Twin Engine ini adalah 407 hp/640 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.4 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 250 km/j. Ia juga mencatatkan penggunaan bahan api serendah 2 liter untuk perjalanan 100 km.

Motor elektrik S60 T8 ini mendapat suapan bateri lithium-ion 11.6 kWj yang diletakkan di bawah terowong transmisi, iaitu diposisikan menegak pada bahagian tengah lantai kereta ini, memberikan jarak gerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya tanpa enjin petrol dihidupkan lebih dari 49 km.

Volvo S60 T8 CKD 2020 dilancarkan di M’sia – harga RM295,888 tidak berubah, kini dengan Park Assist

Sebagai model plug-in hybrid (PHEV), bateri berkenaan turut boleh dicas menggunakan stesen pengecas dengan sistem sambungan Type 2, membolehkan ia dicas penuh dalam masa tiga jam dengan kuasa 3.7 kW atau lebih. Varian R-Design ini juga dibekalkan dengan Dynamic Chassis bersama suspensi passive damping bagi memberikan pengendalian lebih sporty.

Seperti biasa juga, Volvo S60 generasi baharu turut ini tampil dengan sistem keselamatan antara yang paling canggih dalam kelasnya. Ia terdiri dari enam beg udara (depan, belakang dan tirai), brek kecemasan automatik City Safety, Pilot Assist, Bantuan Kekal Lorong, Amaran dan Sokongan Pengelak Pelanggaran Hadapan dan Belakang, Driver Alert Control (DAC), Pengelak Keluar Jalan, Lintasan Trafik Belakang dan pelbagai lagi. Untuk model CKD ini, satu lagi ciri ditambah iaitu ia hadir standard dengan sistem Park Assist.

Selain itu, terdapat juga berberapa perubahan kecil antara model CBU dan CKD ini. Menurut VCM, tempat duduk belakang sedan versi CKD ini tidak boleh dilipat seperti model CBU, tetapi masih ada satu ruang yang boleh dibuka untuk akses ke ruang kargo but. Selain itu, ia juga kini tidak lagi mempunyai soket 12V dan jaring pada ruang but tersebut.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required