UMW Toyota Motor (UMWT) telah memberikan sedikit kemas kini untuk model Toyota Corolla 2020 yang hadir dengan unit utama Paparan Audio untuk varian tertinggi 1.8G. Dengan semakan ini, 1.8G kini dijual pada harga 139,888 atas jalan tanpa insurans, di mana ia lebih RM3,000 berbanding sebelum ini.
Unit utama ini lebih kurang sama seperti yang ditampilkan pada Fortuner dan Innova, dengan skrin sesentuh sembilan-inci yang turut menerima sokongan Android Auto, Apple CarPlay dan Miracast. Walau bagaimana pun, tiada perubahan untuk varian asas 1.8E, yang masih dikekalkan dengan sistem 6.8-inci yang sama.
Malah harga untuk 1.8E juga kekal pada paras 128,888 dan tidak didatangkan dengan pilihan untuk memasang sistem Paparan Audio dengan kos tambahan. Senarai aksesori tambahan juga masih kekal sama, termasuk paparan pandangan panoramik 3D (RM2,700), perakam video digital hadapan dan belakang (RM1,100) dan Sistem Telematik Kenderaan (VTS berharga RM1,450.
Lain-lain spesifikasi untuk kedua-dua varian masih kekal sama seperti sebelum ini, termasuklah enjin 2ZR-FE 1.8 liter empat-silinder petrol dengan 139 PS (137 hp) dan tork 173 Nm. Ia dipadankan dengan Shiftmatic CVT yang menyalurkan pacuan ke roda hadapan, bersama dua mod pemanduan (Sport dan Eco).
1.8E menerima lampu utama halogen larasan manual, roda aloi 16-inci (dengan tayar siri 205/55) lampu belakang LED, kamera undur serta penderia parkir hadapan dan belakang serta lampu kabus untuk ciri standard.
Lain-lain ciri termasuklah kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, paparan kluster instrumen TFT LCD 6.8-inci, kawalan suhu automatik zon-tunggal dengan corong di belakang, unit utama skrin sesentuh 6.8-inci dengan enam-pembesar suara, balutan upholstery kulit rona hitam dan tempat duduk pemandu dengan larasan berkuasa lapan-hala.
Ciri tambahan untuk varian 1.8G termasuklah lampu utama projektor LED, roda aloi 17-inc (dengan tayar 225/45), paparan instrumen Optitron tujuh-inci, kawalan suhu dwi-zon, balutan upholstery kulit rona itam, brek parkir elektronik (dengan penahan auto), pedal penukar gear, tirai tingkap sisi belakang, pengecas tanpa wayar Qi, paparan pandangan panoramik 3D, VTS dan perakam video digital.
Bagi aspek keselamatan, kedua-dua varian 1.8E dan 1.8G didatangkan dengan tujuh beg udara (hadapan, tirai sisi dan lutut pemandu), Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Kawalan Cengkaman (TRC), ABS dengan EBD dan bantuan brek, Kawalan Bantuan Mula Mendaki (HAC), Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), sistem pemantauan tekanan tayar dan cagak Isofix.
1.8G turut ditambah dengan sistem bantuan pemandu dan keselamatan Toyota Safety Sense. Ini termasuklah Sistem Pra-Pelanggaran (PCS), Kepekaan Ketibaan Lorong (LDA) dengan Bantuan Stereng dan Bantuan Kesan Lorong (LTA), Kawalan Kelajuan Radar Dinamik (DRCC), Lampu Tinggi Automatik (AHB) dan Pemantauan Titik Buta (BSM).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.