Menurut Proton, sepanjang bulan Mei 2020, syarikat itu merekodkan jualan kenderaan sebanyak 5,676 unit – tempoh yang sama Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Ramadan berlangsung dan sektor perniagaan kembali memulakan operasi secara berperingkat.
Ini juga menurut Proton menjadi petunjuk kepada suasana pasaran yang semakin pulih. Sebagai perbandingan, tempoh sama tahun lalu mencatatkan jualah sebanyak 10,611 unit; ini melibatkan perbezaan 46.5% penurunan akibat daripada penularan wabak Covid-19 tahun ini.
Dengan angka jualan terbaru itu, Proton mencatatkan peningkatan sebanyak 73.2% berbanding jualan bulan Mac 2020, walaupun semua operasi di bilik pameran terpaksa mematuhi syarat ketat SOP sepanjang PKPB. Jualan keseluruhan Proton bagi tempoh lima bulan pertama tahun 2020 ini tetap mencatatkan pengurangan sebanyak 23.3%, sementara TIV pula dianggar menyusut 48.7% bagi tempoh yang sama.
Dari segi kedudukan pasaran dan pegangan pasaran, menurut Proton syarikat itu kekal sebagai jenama kedua terlaris di Malaysia dengan jumlah pegangan pasaran setakat ini pada 21.1%, iaitu masih selari dengan sasaran yang ditetapkan untuk tahun ini.
Sepanjang Mei, empat model Proton mencatatkan jualan tertinggi dalam segmen masing-masing. Proton X70 kekal sebagai SUV segmen C terlaris dengan jumlah terkumpul paling tinggi setakat ini bagi segmen berkenaan. Dikilangkan di Tanjung Malim, model berkenaan diberi naik taraf pada Mei lalu dengan penambahan penapis kabin N95.
Proton Saga turut menjadi model pilihan pembeli di Malaysia pada bulan Mei. Ini adalah pencapaian kali pertama bagi model tersebut dan turut meletakkan ia sebagai sedan segmen A paling popular sepanjang bulan lalu. Selain itu, model lain yang turut mencatat jualan cemerlang ialah Proton Persona, terlaris bagi sedan segmen B sementara Proton Exora kekal menjadi pilihan utama bagi MPV segmen C.
“Perintah PKP yang dikeluarkan buat kali pertama sepanjang sejarah Malaysia telah memberi kesan kepada setiap aspek ekonomi negara. Industri automotif kini sedang beransur-ansur pulih, namun bulan pertama merupakan tempoh penyesuaian kerana perlu mengamalkan normal baru yang melibatkan seluruh aspek operasi syarikat,” ujar CEO Proton, Dr Li Chunrong.



Proton X90
dari RM106,800
Proton S70
dari RM73,800
Proton eMas 7 PHEV
dari RM109,800
Proton X70
dari RM106,800
Proton Saga
dari RM38,990
Proton eMas 5
dari RM59,800
Proton X50
dari RM89,800
Proton eMas 7
dari RM103,800