Brosur mengenai Toyota RAV4 2020 telah pun bocor di Facebook, memberikan beberapa perincian mengenai SUV yang bakal dilancarkan di Malaysia pada 18 Jun ini. Walau bagaimana pun, harganya masih menjadi tanda tanya.

Menerusi brosur berkenaan, RAV4 akan ditawarkan dengan dua varian pacuan roda-hadapan, kedua-duanya dengan padanan enjin Dynamic Force daripada Toyota sendiri. Model asas 2.0L menggunakan unit M20A-FKS 2.0 liter empat-silinder dengan kuasa 173 PS dan tork 207 Nm, dipadankan bersama CVT.

Manakala varian tertinggi (atau yang paling mahal) 2.5L dijanakan oleh unit A25A-FKS 2.5 liter empat-silinder dengan kuasa 207 PS dan tork 243 Nm. Tidak seperti unit 2.0 liter, enjin 2.5 liter dipadankan dengan kotak gear Direct Shift automatik lapan-kelajuan. Kedua-dua varian juga didatangkan dengan tiga mod pemanduan (Normal, Eco dan Sport).

Selain kapasiti enjin, kelengkapan yang didatangkan untuk varian 2.0L dan 2.5L agak serupa. Kedua-duanya dilengkapi roda aloi 18-inci, lampu utama LED automatik dengan lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED, bilah pengelap cermin automatik, lampu kabus hadapan dan belakang serta tailgate kuasa dengan operasi bebas-tangan.

Untuk bahagian dalamnya, senarai ciri yang ditampilkan termasuklah kluster instrumen Optitron dengan paparan pelbagai-inci tujuh-inci, kawalan suhu dwi-zon dengan corong belakang, upholstery kulit, tempat duduk pemandu larasan kuasa lapan-cara dengan fungsi memori, kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, perakam video digital hadapan dan belakang serta pengecas tanpa wayar.

Untuk hiburan, ia disertakan dengan unit utama skrin sesentuh tujuh-inci yang turut menerima sokongan Android Auto dan Apple carPlay, serta sistem bunyi enam-pembesar suara. Saiz skrin bagi unit berkeaan sedikit kecil berbanding yang terdapat pada model Corolla, Fortuner dan Innova pasaran kita, dan ia ditempatkan di antara perumah besar, jadi membuatkan ia agak menyerlah.

Kedua-dua varian juga didatangkan secara standard dengan Toyota Safety Sense bagi sistem bantuan pemandu dan keselamatan, ini merangkumi Sistem Pra-pelanggaran (PCS), Kepekaan Ketibaan Lorong dengan fungsi pembetulan stereng dan Bantuan Kesan Lorong (LTA), Kawalan Kelajuan Radar Dinamik untuk semua-kelajuan dan Lampu Tinggi Automatik (AHB).

Lain-lain ciri termasuklah pemantauan titik buta dengan kepekaan trafik lintasan belakang, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), ABS, bantuan mula mendaki, penderia parkir hadapan dan belakang, sistem pemantauan tekanan tayar, tujuh beg udara (hadapan, sisi, tirai dan lutut pemandu), cagak Isofix dan sistem amaran tali pinggang keledar untuk tempat duduk hadapan.

UMW Toyota Motor juga memberikan Sistem Telematik kenderaan (VTS) yang membolehkan pemilik untuk memeriksa lokasi real-time kenderaan masing-masing menerusi aplikasi mobil, seperti mana yang terdapat pada Corolla, dan ini memerlukan pemandu untuk melanggan perkhidmatan tersebut.

RAV4 2020 ini diberikan enam pilihan warna termasuk Dark Blue Mica, Red Mica, White Pearl Crystal Shine, Silver Metallic, Grey Metallic dan Attitude Black. Ia turut didatangkan dengan waranti lima-tahun/perbatuan tanpa had secara standard untuk setiap pembelian.

Berkenaan dengan harganya, kena nantikan pelancarannya dalam tempoh beberapa hari lagi. Tapi segala ciri kelengkapan yang didatangkan macam menarik saja bukan?