Pas perjalanan tanpa had My30 rekod lebih 10,000 langganan pada hari pertama dilancarkan – Prasarana

Pas perjalanan tanpa had My30 rekod lebih 10,000 langganan pada hari pertama dilancarkan – Prasarana

Semalam telah pun dilancarkan pas perjalanan tanpa had My30, di mana rakyat Malaysia khususnya warga kota boleh menggunakan pas berkenaan ketika menggunakan perkhidmatan LRT, MRT, Monorel, Bas Rapid Transit – Laluan Sunway, bas henti-henti Rapid KL di Lembah Klang dan Selangor dan bas perantara Jom Naik MRT tanpa had untuk tempoh 30 hari.

Menurut pengendali perkhidmatan terbabit, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), dalam hari pertama pelancaran pas terbabit, lebih 10,000 langganan telah dicatatkan.

Kini, para pengguna boleh melanggan pakej baharu My30 itu di semua 122 buah stesen LRT, MRT, Monorel, BRT dan juga 5 hab bas Rapid KL di Pasar Seni, Seksyen 2, Shah Alam; Greenwood, Terminal Kajang dan Sri Nilam dengan menggunakan MyKad dan MyTentera masing-masing.

Pas perjalanan tanpa had My30 rekod lebih 10,000 langganan pada hari pertama dilancarkan – Prasarana

Terbuka hanya kepada warga negara Malaysia dengan urusan yang hanya menggunakan kad pengenalan MyKad dan MyTentera, pakej My30 menggantikan sementara pas perjalanan tanpa had My100, yang dijual dengan harga RM100 untuk tempoh 30 hari perjalanan tanpa had dalam semua perkhidmatan rel dan bas Rapid KL.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd Abdul Hadi Amran menerangkan, bagi pengguna pertama kali mereka perlu membuat pendaftaran dan mengaktifkan pas berkenaan terlebih dahulu di kaunter sebelum menggunakannya.

“Pertama kali, pengguna harus membayar RM35 untuk pas My30 kerana ia (RM35) merupakan jumlah minimum pas. Ini hanya untuk pertama kali sahaja, untuk pembaharuan tidak perlu. RM5 ini diperlukan bagi mengaktifkan fungsi pas.

Pas perjalanan tanpa had My30 rekod lebih 10,000 langganan pada hari pertama dilancarkan – Prasarana

“My30 boleh diaktifkan sebaik sahaja disentuh pada ‘gate’ masuk setiap stesen. Pembaharuannya pula boleh dibuat tujuh hari sebelum atau selepas tarikh tamat. Ia (My30) tidak akan mengganggu Touch ‘n Go sedia ada di kad pengenalan kerana kod yang digunakan adalah berlainan. Kaunter stesen boleh semak MyKad ada kad Touch ‘n Go atau tidak,” katanya seperti dilaporkan oleh Bernama.

Beliau berkata selepas 31 Disember nanti, Prasarana akan mengkaji semula My30 sama ada mahu meneruskannya atau tidak.

“Mereka yang melanggan pas pada hari terakhir iaitu pada 31 Dis, tidak akan mendapat bayaran balik sebaliknya mereka boleh menggunakan kad itu selama 30 hari iaitu sehingga hujung Januari 2021,” katanya.

Tanpa kad My30, atau My100 sebelum ini, perjalanan satu hala sahaja untuk perkhidmatan MRT dari Kajang ke Sungai Buloh sudah berharga RM6.40 sekiranya menggunakan token. Perjalanan satu hala daripada Putra Heights ke Gombak dengan LRT Laluan Kelana Jaya berharga RM6.10 pada kadar biasa, manakala perjalanan satu hala menaiki monorel dari KL Sentral ke stesen terakhir di Titiwangsa adalah RM4.10.

Jika menggunakan perkhidmatan BRT pula, harga tambang biasa untuk perkhidmatan BRT boleh mencapai sehingga RM4.30 untuk perjalanan satu hala daripada Stesen USJ7 ke Stesen Setiajaya. Kalau menggunakan perkhidmatan bas Rapid KL pula, tambang perjalanan adalah bergantung kepada jumlah zon; dengan perjalanan untuk zon pertama ditetapkan pada 80 sen.

Jadi, kalau untuk perjalanan menggunakan Laluan 750 daripada Pasar Seni ke Shah Alam, tambang perjalanan melalui empat zon dengan kadar tambang RM2.50 untuk perjalanan satu hala tanpa menggunakan kad My30.

“Jika kad perjalanan tanpa had #My100 dijulang sebagai pakej menjimatkan dan berbaloi, My30 ini adalah ‘super jimat’ untuk warga kota Lembah Klang,” kata Pengerusi Kumpulan Prasarana, Dato’ Sri Haji Tajuddin Abdul Rahman.

Tajuddin turut menyuarakan keyakinan bahawa dengan pengenalan pakej My30 ini, jumlah pengguna perkhidmatan pengangkutan awam Rapid KL bukan saja akan segera mencapai kembali kepada angka sebelum pelaksanaan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kira-kira satu juta penumpang sehari; tetapi meningkat dengan lebih banyak lagi daripada jumlah berkenaan.

Sebelum PKP yang bermula pada 18 Mac lepas, purata jumlah penumpang sehari untuk perkhidmatan rel Rapid KL, yang meliputi LRT, MRT dan monorel, adalah lebih 750,000 penumpang, manakala untuk perkhidmatan bas Rapid KL termasuk bas adalah kira-kira 300,000 termasuk pengguna perkhidmatan bas perantara Jom Naik MRT dan perkhidmatan BRT–Laluan Sunway.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required