Satu lagi pengedar rasmi yang telah mengeluarkan senarai harga kenderaan jualan mereka adalah Sime Darby Auto Performance (SDAP), iaitu untuk kenderaan Porsche, setelah dilaras mengikut pengecualian cukai yang diberikan oleh kerajaan sehingga 31 Disember.

Bergantung kepada model, penurunan harganya boleh mencecah sehingga RM47,609, dan untuk pengetahuan, ini adalah harga model yang mengikut spesifikasi biasa dan tidak termasuk pilihan tambahan, cukai jalan dan juga insurans.

Model Porsche permulaan, iaitu 718 Boxster sekarang dijual pada harga RM486,727, iaitu bersamaan RM13,273 (atau 2.65%) lebih murah berbanding sebelum ini. Boxster S yang lebih berkuasa pula dijual pada harga RM602,837, menunjukkan penurunan harga RM17,163 (atau 2.77%). Barisan model Cayman 718, yang terdiri daripada varian asas dan S melihatkan penjimatan sehingga RM22,357 (or 3.29%).

Bagi barisan 911, model asas Carrera S sekarang dijual pada harga RM1,105,335, iaitu RM44,665 (atau 3.88%) lebih murah, manakala Carrera 4S pula harganya RM1,172,391, turun RM47,609 (atau 3.9%). Harga model Panamera pula kini lebih murah sehingga RM39,418 (atau 3.55%) manakala Cayenne dan Macan sehingga RM32,685 (atau 3.56%).

Selain harga baru ini, SDAP turut mengumumkan pakej pembiayaan baru yang dikenali sebagai Porsche 360 Financing+ untuk Macan. Ia memberikan pilihan pemilikan yang lebih fleksibel kepada pelanggan, dengan tempoh bayaran semula lebih pendek (12 bulan hingga 60 bulan) serta pembiayaan maksimum sehingga 90%.