Pengarah Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias telah memaklumkan sejak tahun 2000, sebanyak hampir 40 juta saman trafik masih tertunggak yang belum diselesaikan orang ramai. Di mana kesemua saman berkenaan mencecah nilai sehingga lebih kurang RM4 bilion.

“Kategori kesalahan tertinggi yang dilakukan oleh pesalah trafik ialah memandu melebihi had laju, tidak mematuhi arahan papan tanda trafik, kesalahan berkaitan lesen dan tidak mematuhi lampu isyarat,” katanya kepada Bernama.

Azisman turut mengingatkan mereka yang menerima saman trafik berkenaan agar melunaskannya dengan segera.

Beliau turut berkata, sejak hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 10 Jun 2020 sehingga kelmarin, pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 80,950 saman terhadap pengguna jalan raya.

Antara kesalahan utama yang dilakukan adalah memandu melebihi had laju dengan sebanyak 37,802 saman, lesen tamat tempoh (12,169) dan sebanyak 10,390 saman tidak mematuhi arahan papan tanda trafik.

Menurutnya, pihak JSPT akan terus mengambil tindakan saman dan membawa pesalah ke mahkamah, jika melanggar peraturan dan undang-undang raya.

“Ini juga termasuk pengguna jalan raya yang memandu dalam keadaan mabuk dan penunggang motosikal yang didapati merempit di jalan raya,” katanya.