Setiap tahun, Apple akan menganjurkan Worldwide Developers Conference (WWDC) sebagai platform untuk mereka menunjukkan pembangunan teknologi terbaru. Tahun ini, antara yang ditunjukkan kepada orang ramai adalah fungsi kunci digital penuh menggunakan iPhone dan Apple Watch.

BMW akan menjadi pengeluar kenderaan pertama yang menggunakan ciri ini, dan menyediakannya kepada pelanggan pertamanya melalui model 5 Series LCI G30. Selepas itu, hampir semua model lain yang dikeluarkan selepas 1 Julai 2020 akan dipasang dengan ciri ini.

Apple CarKey menggunakan teknologi NFC yang membenarkan pengguna membuka kunci kereta mereka dengan hanya menyentuh peranti kepada pembaca NFC yang berada di pembuka pintu. Anda kemudiannya perlu melakukan pengesahan melalui Face ID atau Touch ID sebelum kereta dibuka. Jika tidak mahu melakukan langkah itu, anda boleh memilih mod Express yang lebih pantas.

Apabila sudah masuk di dalam kenderaan, anda perlu meletakkan iPhone di atas tempat khas, tekan butang pemula dan enjin akan hidup. Tetapan asas untuk CarKey dibuat melalui aplikasi Wallet, manakala tetapan lain boleh dilakukan melalui aplikasi telefon pintar BMW atau arahan pada sistem infotainmen.

Menurut BMW, pemilik yang menggunakan ciri ini boleh berkongsi akses dengan sehingga lima orang yang menggunakan iPhone atau Apple Watch melalui iMessage dan mereka boleh menetapkan parameter seperti had laju maksimum, kuasa, tahap bunyi radio dan beberapa ciri lain.

Bagaimana pula kalau bateri telefon habis sepenuhnya? Menurut BMW, di dalam telefon pintar terdapat simpanan kuasa yang masih membolehkan ia berfungsi sebagai kunci, sehingga lima jam daripada waktu telefon tersebut mati akibat kehabisan bateri. Sebagai ciri keselamatan, Apple pula memberitahu, sekiranya telefon pengguna hilang, mereka boleh menghalang akses CarKey melalui iCloud.

Apple CarKey pada kenderaan BMW boleh digunakan melalui peranti berikut: iPhone XR, iPhone XS, iPhone XS Max, iPhone 11, iPhone 11 Pro, iPhone 11 Pro Max, iPhone SE (generasi kedua) dan Apple Watch Series 5. Ia juga memerlukan perisian iOS 13.6 serta WatchOS 6.2.8.