BMW Malaysia telah pun melancarkan 8 Series Gran Coupe G16 pada April lalu, dan kini kami membawakan galeri penuh bagi jentera sedan dengan gaya coupe ini. Hanya didatangkan dengan varian tunggal 840i M Sport, buat masa ini, harga atas jalan yang ditawarkan ialah RM937,411 tanpa insurans dan kalau termasuk dengan cukai jualan pula mencecah RM968,800.

Ia ditampilkan dengan enjin 3.0 liter pengecas turbo enam-silinder sebaris dengan kuasa 340 PS (335 hp) dari 5,000 hingga 6,000 rpm dan tork 500 Nm dari 1,600 hingga 4,500 rpm. Pacuannya disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi automatik Steptronic enam-kelajuan, dan pecutan dari 0-100 km/j hanya mengambil masa 5.2 saat dan kelajuan maksimum mampu mencecah 250 km/j.

Penjana kuasa ini turut dipadankan dengan sistem ekzos sport, dengan suspensi adaptif, M Sport differential dan Integral Active Steering (all-wheel steering).

Pakej M Sport didatangkan secara standard dan termasuklah bampar yang lebih agresif yang menjadi sebahagian daripada pakej M Aerodynamic. Ia juga tampilkan dengan kemasan Shadow Line, serta rim M 20-inci dengan tayar 245/35 di hadapan dan 275/30 di belakang.

Model 840i ini turut dipadankan dengan lampu utama BMW Laserlight, High-beam Assistant, bumbung panoramik, lampu ambien, lapik bumbung dalam anthracite, balutan kulit Merino, kemasan kayuan berwarna kelabu berkilat, roda stereng M, kemasan tepi pintu M dan papan pemuka dibalut kulit “Walknappa” hitam.

Untuk ciri keselesaan, sedan empat pintu ini mempunyai kawalan pendingin hawa empat zon, tempat duduk dengan liang udara serta fungsi memori, Live Cockpit Professional, panel instrumen 12.3-inci, BMW Navigation System Professional 10.25-inci, paparan utama,serta penghadang cahaya kuasa elektrik untuk tingkap dan cermin belakang.

Sistem infotainmen pada 840i juga mempunyai fungsi kawalan pergerakan, servis sokongan BMW Connected, sambungan Apple CarPlay serta sistem bunyi Harman Kardon 464 watt dengan 16 pembesar suara. Kemudahan lain adalah termasuk Comfort Access, pintu but bukaan elektrik dan BMW Display Key.

Bagi aspek keselamatannya, model ini turut menerima kehadiran Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC) termasuk Kawalan Cengkaman Dinamik (DTC), Kawalan Brek Selekoh (CBC), Kawalan Brek Dinamik (DBC), dan ABS dengan Bantuan Brek.

Ia turut ditambah dengan BMW Driving Assistance Professional, yang termasuk Kawalan Kelajuan Aktif dengan fungsi Stop & Go, Amaran Ketibaan Lorong, Amaran Penukaran Lorong, Bantuan Kekal Lorong dengan perlindungan perlanggaran tepi, Bantuan Kawalan Lorong dan Stereng, Bantuan Menukar Lorong, amaran perlanggaran serta Bantuan Parkir Tambahan dengan kamera keliling.

BMW 840i M Sport ditawarkan dalam enam warna luaran iaitu Barcelona Blue, Sonic Speed Blue, Carbon Black, Black Sapphire, Mineral White dan Sunset Orange, manakala kemasan kulit di dalam boleh dipilih dalam warna hitam, Night Blue, Cognac, Tartufo dan Fiona Red.

Ia turut didatangkan dengan waranti lima-tahun/tanpa had perbatuan dengan servis berkala percuma, waranti tayar dua-tahun/24-bulan, BMW Roadside Assistance, BMW Service Online dan program keahlian BMW Group Loyalty+.