Range Rover Evoque generasi kedua akan diperkenalkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia melalui sebuah sesi maya atas talian di laman Facebook Jaguar Land Rover Malaysia (JLRM) pada 26 Jun ini. Model berkenaan sebelum itu pernah dipertontonkan di acara Premium Auto Car Expo (PACE) paultan.org November tahun lalu.
JLRM bulan lalu mendedahkan penawaran terbaru Evoque itu nanti akan menerima sistem bantuan pemandu dan Smart Settings, sebuah sistem kepintaran buatan (AI) yang akan mempelajari kecenderungan pemandu bagi hal-hal seperti kedudukan posisi tempat duduk, audio, serta kawalan pendingin.
Evoque terbaru untuk Malaysia itu juga akan menerima teknologi ClearSight di depan dan belakang; Clearsight Ground View akan memaparkan pandangan 180-darjah bahagian bawah dan depan kenderaan, begitu juga dengan bahagian belakang kenderaan.
Bagi sistem infotainmen, Evoque baru ini akan menampilkan ciri InControl Touch Pro Duo dengan dua skrin sentih 10-inci serta sebuah paparan digital 12.3-inci untuk pemandu. Kelengkapan keselamatan aktif juga termasuk bantuan mengekalkan lorong, serta peninjau keadaan pemandu yang akan memberikan amaran audio dan visual sekiranya ia mengesan pergerakan mengejut disebabkan keadaan pemandu yang letih.
Unit enjin yang dijangka akan ditawarkan untuk pasaran tempatan ialah 2.0 litre Ingenium turbocas petrol, kemungkinan dalam versi janaan 300 PS dan digandingkan dengan kotak gear automatik sembilan-kelajuan dengan pacuan semua roda. Untuk laluan yang lebih mencabar, ciri Terrain Response 2 datang sebagai standard, sementara kemampuan meredah air kini ialah 600 mm – tambahan 100 mm berbanding model sebelum ini.
Model generasi kedua ini menggunakan platform Premium Transverse Architecture, dengan jarak antara roda yang lebih panjang memberikan ruang dalaman yang lebih luas dan praktikal. Kerusi dengan nisbah lipatan 40:20:40 di belakang pula menyediakan 1,383 liter kapasiti ruang barangan – peningkatan 10% melebihi yang terdahulu.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.