Selepas beroperasi lebih dari 115 tahun dan kemudian diambil alih oleh Kumpulan Volkswagen pada era 90’an, kilang Zwickau-Mosel Volkswagen kini secara rasmi menamatkan pengeluaran terhadap kenderaan yang dijana oleh enjin pembakaran dalaman konvensional. Ini bukan bermakna ia akan ditutup, sebaliknya lembaran baharu akan dibuka kerana ia akan menjadi kilang terbesar di Eropah yang hanya menghasilkan kereta elektrik sepenuhnya (EV).

Model bersejarah dengan enjin konvensional terakhir keluar dari barisan produksi kilang berkenaan juga bukan model penumpang biasa, tetapi ia adalah model wagon berprestasi tinggi Volkswagen Mk7.5 Golf R Estate dengan warna badan Oryx White Pearl.

Menurut Volkswagen, kilang tersebut kini dalam proses transformasi dengan kos sekitar RM5.8 bilion, manakala kumpulan pertama kereta elektrik yang akan diproduksi di sini iaitu Volkswagen ID.3 akan mula keluar dari barisan produksi pada akhir tahun ini. Setelah kilang ini dibesarkan nanti, ia turut akan menghasilkan model-model berasaskan platform MEB yang lain termasuk ID.4 serta SUV elektrik Audi.

Kilang berkenaan dijangka mampu untuk menghasilkan sekitar 330,000 unit kereta elektrik setahun, atau kilang paling produktif berbanding kilang-kilang lain di bawah Kumpulan Volkswagen. Fasiliti tersebut akan disokong oleh sekumpulan 8,000 pekerja, kebanyakkan dari mereka kini sedang diberi latihan untuk mengendalikan sistem bervoltan tinggi.

Walau bagaimanapun, Volkswagen tidak menjelaskan adakah badan untuk SUV mewah dari jenama Lamborghini dan juga Bentley akan terus dihasilkan di Zwickau atau tidak.

Kilang Zwickau ini telah dibuka dan mula berorperasi pada tahun 1904 bagi menghasilkan kereta dan motosikal untuk jenama-jenama Jerman iaitu Audi, Horch dan DWK hingga ke era 1940’an. Ia turut pernah menjadi pengkalan produksi untuk jenama Trabant, dengan penghasilan hampir 3.1 juta unit kereta dari jenama tersebut bemula 1957 hingga 1991.

Volkswagen telah mengambil alih kilang ini secara rasmi pada tahun 1990, dan semenjak itu ia telah menghasilkan 6,049,207 unit kereta dari jenama tersebut sehingga kini termasuk Polo, Golf, Golf Estate, Passat sedan dan Passat Estate. Secara keseluruhan dari 1904 hingga hari ini, sejumlah lebih dari 9.5 juta kereta dengan enjin pembakaran dalaman telah dihasilkan oleh kilang Zwickau ini.