Land Rover Defender versi komersil kini kembali – model Hard Top dalam pilihan Defender 90 dan 110

Land Rover Defender versi komersil kini kembali – model Hard Top dalam pilihan Defender 90 dan 110

Land Rover Defender satu ketika dahulu hanya dikenali sebagai kenderaan yang boleh meredah pelbagai bentuk permukaan bumi, tanpa sebarang unsur kemewahan, dan ia turut popular sebagai kenderaan komersil dan agensi-agensi kerajaan untuk melakukan kerja. Walaupun Defender generasi baharu yang didedahkan tahun lalu dilihat penuh dengan kelengkapan yang mahal, Land Rover nampaknya tidak lupa untuk menghasilkan Defender dalam versi komersil.

Seperti model klasik, versi komersil ini hadir dalam bentuk badan Hard Top dan diberikan dua pilihan jarak roda iaitu Defender 90 dan Defender 110. Buat mereka yang belum tahu, Defender kini dihasilkan dengan kerangka monocoque aluminium yang 29,000 Nm setiap darjah atau tiga kali lebih kuat berbanding kerangka tradisional yang boleh dipisahkan, menurut Land Rover.

Model komersil ini tidak diberikan sebarang tempat duduk pada kabin belakang kerana ia dikhaskan hanya untuk memuatkan kargo, manakala di hadapan boleh memuatkan sehingga tiga orang. Defender Hard Top ini juga mempunyai kekuatan menunda 3,500 kg, serta turut dibantu sistem Advanced Tow Assist yang membolehkan pemandu mengundur dengan mudah walaupun sedang menarik treler di belakang menggunakan kawalan pada konsol tengah.

Land Rover Defender versi komersil kini kembali – model Hard Top dalam pilihan Defender 90 dan 110

Kemampuan off-road Defender sudah tentu sukar untuk dipersoalkan. Versi Hard Top ini dihasilkan dengan sudut approach 38 darjah, sudut breakover 28 darjah, sudut departure 40 darjah, dan ia boleh meredah air dengan kedalaman 900 mm – kesemua ini adalah sama dengan Defender 110 versi penumpang biasa.

Juga walaupun ia dihasilkan untuk tujuan komersil, Defender Hard Top 90 dan 110 diberikan suspensi dengan spring gegelung di hadapan dan belakang, manakala model 110 turut ditawarkan dengan pilihan suspensi jenis udara.

Versi Hard Top ini juga turut hadir dengan sistem kawalan casis Terrain Response 2, yang memberikan enam mod pemanduan – Normal, Mud and Ruts, Grass/Gravel/Snow, Sand, Rock Crawl dan Wade – bagi memudahkan pemandu mengendalikannya pada permukaan jalan tertentu.

Land Rover Defender versi komersil kini kembali – model Hard Top dalam pilihan Defender 90 dan 110

Lagi sekali, walaupun ia sebuah kenderaan komersil, Defender Hard Top ini turut menerima sistem infotainmen Land Rover Pivi Pro dengan skrin sesentuh dan juga sokongan Apple Carplay dan Android Auto serta mampu mengemaskini perisian menerusi sistem software-over-the-air (SOTA).

Pemandu akan dibantu dengan pelbagai sistem bantuan pemanduan termasuk kamera pemantau sekeliling 3D yang memudahkan ia dikendali pada laluan yang sempit. Aplikasi untuk telefon pintar juga disediakan bagi memudahkan lokasi Defender ini dikesan serta melihat jumlah bahan api dalam tangki serta sejarah perjalanan dari jarak jauh.

Walau bagaimanapun, Land Rover masih belum mendedahkan spesifikasi janakuasa untuk Defender Hard Top ini. Untuk versi penumpang biasa, Land Rover Defender ditawarkan dengan enjin diesel dalam talaan 200 PS/430 Nm dan 240 PS/430 Nm, versi petrol empat silinder P300 dengan kuasa 300 PS/400 Nm dan juga versi hibrid ringkas dengan enjin petrol enam silinder sebaris P400 berkuasa 400 PS/550 Nm.

Kesemua versi janaan tersebut digandingkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan, bersama transfer case dua-kelajuan yang boleh memindahkan tork untuk memacu kesemua roda. Manakala unit locking differential pada bahagian tengah dan gandar belakang pula hadir sebagai opsyen.

Land Rover Defender Hard Top ini bakal dijual di United Kingdom dengan harga anggaran sekitar GBP 35,500 (RM187,049). Spesifikasi lengkapnya bakal didedahkan ketika tempahannya dibuka nanti.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required