Selepas melancarkan model edisi terhad Rush 1000, MV Agusta kini memperkenalkan pula Brutale RR 2020. Ia bukanlah sebuah motosikal yang serba baru, tetapi MV Agusta telah mengambil kira keperluan penunggang dan menjadikan model ini lebih senang didekati oleh lebih ramai pengguna.

Menurut pengarah penyelidikan dan pembangunan MV Agusta, Brian Gillen, Brutale RR 2020 direka untuk kegunaan penunggang pelbagai kemampuan, tidak kiralah penunggang motosikal sports yang sudah berpengalaman mahupun mereka yang baru mahu mendekati jenama ini. Perisian sistem motosikal ini serta suspensinya telah dipertingkat, dengan di hadapan menggunakan unit Ohlins NIX EC dan di belakang menggunakan Ohlins EC TTX.

Pada bahagian enjin ia masih lagi menggunakan unit empat silinder sebaris tetapi kini mampu menghasilkan kuasa 208 hp pada 13,450 rpm dan 116.5 Nm tork pada 11,000 rpm. Rantai pemasa (timing chain) yang berada di tengah dapat mengurangkan lenturan camshaft sementara teknologi injap radial pula digabungkan bersama con rod titanium untuk membolehkan enjin ini dipaksa ke tahap rpm yang lebih tinggi.

Geseran keseluruhan dalam enjin telah dikurangkan hasil daripada sistem kitaran minyak yang direka semula, dengan kini menampilkan sistem takungan separa kering. Ia membenarkan minyak diasingkan daripada bahagian enjin yang bergerak sambil pada masa sama memberikan pelinciran yang sepatutnya.

Perhatian yang lebih juga diberikan kepada bunyi enjin, terutamanya dengan peraturan Euro 5 yang bertambah ketat sekarang. Gear di dalam transmisi enam kelajuan motosikal ini telah direka semula dan dipotong untuk mengurangkan bunyi serta geseran. Turut membantu adalah perumah enjin yang dapat menyerap bunyi.

Pada bahagian kokpit, penunggang boleh melihat semua informasi penting pada skrin TFT-LCD lima inci, dengan terdapat beberapa pilihan yang boleh dibuat menggunakan butang pada bahagian pemegang. Antaranya termasuk empat mod tunggangan – Sport, Race, Rain dan Custom – dan penunggang juga boleh mengubah pemetaan enjin menggunakan aplikasi MV Ride serta sambungan Bluetooth dengan motosikal.

Fungsi lain yang boleh dipamerkan pada skrin ini adalah navigasi dan pengguna boleh berkongsinya dengan orang lain. Sistem bantuan pada motosikal ini menggunakan sistem pengurusan enjin Elder EM2 yang dibangunkan khas untuk enjin MV Agusta dan ia termasuk front wheel lift control, launch control serta quickshifter.

Bahagian brek menggunakan angkup Brembo Stylema empat piston yang mencengkam dua cakera 320 mm di hadapan, bersama master cylinder Brembo untuk kedua-dua brek dan klac. Di belakang pula terdapat cakera 220 mm dengan angkup Brembo dua piston. Sistem brek ini disambungkan dengan ABS daripada Bosch dan rear wheel lift mitigation.