Kawasaki ZX-25R dilancar di Indonesia – dua versi, kuasa 51 PS dan 22.9 Nm, harga bermula RM28k

Kawasaki ZX-25R dilancar di Indonesia – dua versi, kuasa 51 PS dan 22.9 Nm, harga bermula RM28k

Setelah penungguan yang dirasakan agak lama-lama dengan banyak sekali teaser-teaser pendek, Kawasaki ZX-25R akhirnya dilancarkan buat pertama kali untuk pasaran iaitu di Indonesia. Ada dua versi yang disediakan, iaitu Standard (warna hitam sahaja) dan SE (pilihan warna hijau, biru dan putih), dengan harga masing-masing adalah 96 juta rupiah (RM28,427) dan 112.9 juta rupiah (RM33,431).

Selain warna, versi SE bagi ZX-25R ini mempunyai kelebihan pada bahagian kelengkapan di mana ia datang dengan brek ABS, quickshifter untuk naik dan turun gear (berfungsi pada rpm atas 2,500), penutup tempat duduk belakang, cermin penghadang angin hadapan smoked, pelindung badan (frame slider) serta jalur pelekat pada rim.

Sejak pertama kali muncul di Tokyo Motor Show, spesifikasi asas ZX-25R telah didedah, di mana ia menggunakan enjin empat silinder empat strok 249.8 cc DOHC penyejukan cecair yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 51 PS pada 15,500 rpm (dengan ram air) dan 22.9 Nm tork pada 14,500 rpm. Laju maksimum yang diberitahu adalah 197 km/j. Pada bahagian transmisi, model ini menggunakan unit enam kelajuan bersama klac jenis assist and slipper.

Walaupun cuma adalah model 250 cc, ZX-25R didatangkan dengan sistem elektronik canggih yang termasuk pilihan dua mod tunggangan (Full atau Low), kawalan cengkaman KTRC serta throttle valve elektronik. Sebagai keselamatan, kunci motosikal ini juga datang dengan sistem immobilizer.

ZX-25R dibangunkan atas kerangka trellis serba baru untuk menjamin tunggangan sporty seperti siri sports bike ZX-6R dan ZX-10R, manakala brek pula menggunakan unit cakera tunggal 310 mm berserta angkup monoblock di hadapan dan cakera 220 mm di belakang. Untuk pasaran Indonesia ini, tayar yang diberikan adalah Dunlop GPR300 bersaiz 110/70 di hadapan dan 150/60 di belakang.

Perincian lain untuk ZX-25R adalah suspensi USD SFF-BP 37 mm tanpa pelarasan di hadapan, monoshock Horizontal Back-link dengan pelarasan pra beban di belakang, berat keseluruhan 182 kg, tangki bahan api 15 liter, jarak roda 1,380 mm dan jarak dari tanah 125 mm.

Semasa pelancaran di atas talian untuk pasaran Indonesia ini, pihak pengurusan Kawasaki telah memberitahu bahagian tempahan sudah dibuka dan penghantaran akan bermula pada bulan Ogos tahun ini. Versi yang diubah suai dengan panel badan gentian karbon serta pelbagai aksesori lain yang pernah dilihat sebelum ini pula tidak dijual, sebaliknya digunakan untuk memberi inspirasi kepada orang ramai.

Jika mahu dilihat sebagai perbandingan, Ninja 250 biasa dijual pada harga bermula 64.1 juta rupiah (RM18,981) sekaligus menjadikan beza harganya dengan ZX-25R sebanyak sekitar RM10k.

GALERI: Kawasaki ZX-25R di Tokyo Motor Show 2019

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required