Ares Design Panther ProgettoUno – supercar 650 hp guna asas Lamborghini Huracan, penampilan retro

Ares Design Panther ProgettoUno – supercar 650 hp guna asas Lamborghini Huracan, penampilan retro

Pengubah suai kenderaan buatan khas yang berasal dari Modena, Itali iaitu Ares Design telah melancarkan sebuah supercar yang menggabungkan teknologi moden dengan penampilan klasik, dipanggil sebagai Panther ProgettoUno. Hanya 21 unit akan dihasilkan untuk pasaran sedunia, dan setiap tempahan akan mengambil masa 12 minggu untuk siap.

Kereta ini adalah satu versi produksi bagi kereta konsep Project Panther dan dibina atas asas Lamborghini Huracan. Malah enjin yang sama turut digunakan, iaitu unit V8 NA 5.2 liter yang mampu menghasilkan kuasa 650 hp pada 8,250 rpm dan tork 600 Nm pada 6,500 rpm.

Kuasa disampaikan kepada semua tayar melalui kotak gear klac berkembar tujuh kelajuan, dan membolehkan Panther ProgettoUno melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.1 saat dengan laju maksimum 325 km/j. Sistem pacuan kereta ini turut dipasang dengan differential Holdex kawalan elektronik generasi kelima dengan fungsi pengunci mekanikal.

Ares Design Panther ProgettoUno – supercar 650 hp guna asas Lamborghini Huracan, penampilan retro

Semua penjuru kereta ini menggunakan suspensi independent double wishbone manakala brek pula terdiri daripada unit cakera seramik karbon 380 mm berserta angkup enam piston di hadapan dan cakera 365 mm dengan angkup empat piston di belakang. Sebagai tambahan ciri keselamatan, bahagian dalam dipasang dengan roll cage besi. Rim adalah 20 inci di hadapan dan 21 inci di belakang, dibalut dengan tayar Pirelli P Zero.

Bahagian teknikal kereta ini ternyata adalah moden tetapi penampilannya pula lebih kepada klasik, dengan mendapat inspirasi daripada model De Tomaso Pantera yang dihasilkan oleh De Tomaso antara tahun 1971 hingga 1993. Keseluruhan panel badan kereta ini dibuat oleh gentian karbon dan lampu hadapannya menggunakan jenis boleh lipat.

Semua kerja rekaan dibuat sendiri oleh Ares menggunakan Computational Fluid Dynamics (CFD) dan menurut mereka kadar rintangan anginnya cuma 0.324 Cd. Antara bahagian penting adalah bukaan udara gentian karbon pada bahagian tepi untuk menyampaikan udara kepada enjin, bonet berliang untuk menyampaikan udara kepada bahagian belakang serta cermin sisi gentian karbon.

Bahagian dalam juga menggunakan rekaan seperti kereta lama tetapi dipasang dengan kelengkapan berteknologi seperti panel instrumen digital penuh. Tiada unit infotainmen pada kenderaan dan di bahagian tengah cuma terdapat dua corong pendingin hawa petak.

Pada konsol tengah terdapat tiga meter penting manakala di bawahnya terdapat banyak butang kawalan untuk fungsi kenderaan. Untuk kemasan, pemilik diberi pilihan sama ada mahukan balutan kulit Nappa ataupun Alcantara.

Satu lagi yang istimewa, Ares Design telah bekerjasama dengan sebuah syarikat audio prestasi tinggi yang diasaskan oleh Mark Levinson, iaitu Daniel Hertz, dan ini adalah kali pertama jenama tersebut digunakan dalam industri automotif (jenama ini lebih terkenal untuk sistem audio kegunaan rumah).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required