Tahun lepas, Lexus memperkenalkan model LM, sebuah MPV besar dan mewah. Sekali pandang pun sudah dapat dilihat, model berkenaan sebenarnya diasaskan daripada Toyota Alphard. Ketika ini, Lexus LM belum dijual di Malaysia. Tetapi ini ada berita berkaitan.

Melalui Wing Hin, ia telah mengubah Toyota Alphard kepada model Lexus terbabit, menggunakan bahagian dan panel tulen dari Lexus sendiri. Jika ada yang berminat untuk hasil penukaran rupa bentuk begini, ia boleh jadi milik anda pada harga RM56,000 – termasuk pemasangan dan cat.

Kit yang dimaksudkan termasuk penukaran wajah depan Alphard, menampilkan gril besar “spindle” Lexus, kemasan krom bentuk L di bucunya, lampu utama LED tulen dengan DRL LED tiga projektor, lampu belakang LED penuh serta bampar belakam LM dengan kemasan krom di bawah dan posisi baru reflektor.

Apa yang tidak akan didatangkan sekali ialah skirting sisi krom dan kemasan krom pada tiang B. Selebihnya, kerja-kerja mengubah rupa Alphard kepada Lexus LM ini kelihatan sangat meyakinkan dan sangat kemas. Sebahagian besar kos yang dikenakan itu pula sebenarnya adalah untuk set lampu hadapan dan belakang.

Bagi kabin, tidak ada ubah suai yang dilakukan. Lencana Toyota pada stereng boleh juga ditukar kepada lencana Lexus jika anda tahu mana nak cari. Tetapi, dua logo Lexus di luar, serta lencana LM 350 datang standard. Jadi, rasanya berbaloi nak ubah Alphard jadi LM?