Kerajaan Selangor telah menyuarakan rasa tidak bersetuju dengan cadangan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dibina berdasarkan jajaran asal yang melalui kawasan Gombak dan Serendah di negeri itu.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru negeri Ng Sze Han berkata ini kerana jajaran asal berkenaan melalui kawasan tadahan air di Selangor, laporan Bernama.

“Jajaran asal meliputi laluan berhampiran Permatang Kuarza (Gombak), Empangan Batu, Hutan Simpan dan Taman Rimba Templer, Kota Puteri atau Batu Arang. Jajaran itu melalui kawasan tadahan air.

“Selangor telah mencadangkan lokasi yang lebih strategik iaitu di Jenjarom (Kuala Langat) berhampiran kawasan Rimbayu atau Kampung Cheeding selain di Pelabuhan Barat,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor (DUN) hari ini.

Kenyataan itu adalah bagi menjawab pertanyaan Lau Weng San (PH-Banting) berhubung status terkini projek ECRL di Selangor.

Ng turut menyatakan sekiranya Kementerian Pengangkutan berhasrat meneruskan projek ECRL dengan pelan jajaran asal, impak ekonomi terhadap kawasan di laluan yang pernah dicadangkan sebelum ini harus diselesaikan menerusi solusi yang baik.

Projek ECRL yang baharu akan melalui 20 stesen dengan 14 stesen stesen penumpang, lima stesen gabungan penumpang dan kargo serta satu stesen untuk kargo saja. Dijangka siap pada tahun 2026, projek ini juga dilihat mampu memacu pembangunan ekonomi, logistik, perdagangan dan pelancongan serta menjadi pemain penting memajukan lagi ekonomi dan pembangunan sosial Malaysia.