Toyota Corolla Apex Edition 2021 muncul di Amerika – terima rupa dan talaan pengendalian lebih agresif

Toyota Corolla Apex Edition 2021 muncul di Amerika – terima rupa dan talaan pengendalian lebih agresif

Jika anda peminat Toyota Corolla, tentu anda ingat varian ‘GT-Apex’ pada model-model prestasi kembar Levin dan Sprinter Trueno dahulu. Nampaknya nama berkenaan digunakan semula oleh Toyota Amerika Syarikat dengan memperkenalkan model edisi terhad untuk sedan Corolla generasi terkini, digelar Toyota Corolla Apex Edition 2021.

Model ini dihasilkan hanya 6,000 unit dan ditawarkan dalam gred SE dan XSE. Toyota menyifatkan model edisi terhad ini sebagai “menyampaikan mesej kepada mereka yang gemar memandu dan mencari sedan sport mampu milik yang menarik perhatian serta berprestasi untuk mengambil selekoh”.

Pada bahagian luaran, Corolla Apex Edition ini menerima rupa lebih garang dengan pemadanan kit badan aero berwarna hitam yang terdiri dari splitter hadapan, penutup lampu kabus, kemasan sisi, diffuser belakang, serta berberapa serlahan berwarna tembaga.

Toyota Corolla Apex Edition 2021 muncul di Amerika – terima rupa dan talaan pengendalian lebih agresif

Selain itu, ia juga diberikan cermin sisi berwarna hitam, lampu belakang yang digelapkan serta sistem ekzos dengan tip keluli tahan karat lebih besar berdiameter 3.5-inci. Tak cukup garang lagi? Pembeli turut ditawarkan dengan spoiler belakang secara opsyen.

Jika anda memilih Corolla Apex ini dalam warna badan Cement dan Super White, ia secara standard tampil dengan bumbung berwarna Black Sand Pearl. Satu-satunya pilihan warna satu tona yang boleh dipilih adalah warna Black Sand Pearl untuk keseluruhan badan.

Manakala untuk prestasi mengambil selekoh, Apex Edition ini diberikan spring dan penyerap hentak baharu. Spring sport tersebut dapat merendahkan badannya 15 mm dari model standard, dan ia dihasilkan dengan lebih keras bagi mengurangkan kadar olengan badan serta respon stereng yang lebih baik.

Toyota Corolla Apex Edition 2021 muncul di Amerika – terima rupa dan talaan pengendalian lebih agresif

Manakala penyerap hentak khas yang diberikan pula ditala bagi disesuaikan dengan spring tersebut, serta dapat mengawal pergerakan menegak dan olengan dengan lebih baik. Ia turut dibekalkan dengan bar penstabil baharu yang meningkatkan lagi ketegaran kerangkanya. Secara keseluruhan, gandingan suspensi baharu ini meningkatkan ketegaran olengan sebanyak 47% di hadapan dan 33% di belakang.

Selain itu, sistem stereng berkuasa elektrik pada Toyota Corolla Apex Edition ini turut ditala semula bagi disesuaikan dengan talaan suspensi baharu. Kemudian, ia menerima rim aloi 18-inci dalam kemasan hitam berkilat yang mampu mengurangkan berat sebanyak 1 kg bagi setiap roda.

Untuk bahagian dalaman pula, Corolla Apex Edition dalam varian ES akan diberikan upholsteri fabrik premium, manakala Apex Edition dalam varian XSE akan diberikan upholsteri fabrik kemasan SofTex berwarna hitam. XSE Apex Edition turut diberikan pemanas tempat duduk termasuk kerusi pemandu larasan elektrik lapan-hala dengan sokongan lumbar.

Toyota Corolla Apex Edition 2021 muncul di Amerika – terima rupa dan talaan pengendalian lebih agresif

Tiada sebarang tambahan kuasa kuda diberikan pada model istimewa ini. Ia masih digerakkan dengan enjin 2.0 liter empat-silinder NA Dynamic Force berkuasa 169 hp dan tork maksima 205 Nm. Juga seperti model standard, ia digandingkan dengan kotak gear automatik Dynamic-Shift CVT.

Walau bagaimanapun, Toyota ‘bermurah hati’ untuk menawarkan transmisi manual enam-kelajuan dengan sistem Intelligent Manual Transmission (iMT), tetapi ia terhad kepada hanya 120 unit Corolla Apex Edition ini sahaja.

Pengenalan model Apex Edition ini sebenarnya dibuat sekali dengan pendedahan barisan model Corolla sedan yang dikemaskini untuk versi 2021, dan model yang dijana oleh enjin konvesional serta versi hibrid 1.8 liter masih masih kekal seperti sebelum ini.

Antara perincian yang telah dikemaskini termasuk sokongan Android Auto bagi menyertai sokongan Apple CarPlay dan Amazon Alexa yang telah pun didatangkan standard pada model 2020, serta tambahan beg udara sisi belakang baharu bagi menjadikannya 10-unit secara keseluruhan.

Toyota Corolla Apex Edition 2021 muncul di Amerika – terima rupa dan talaan pengendalian lebih agresif

Selain itu, semua model Corolla 2021 pasaran Amerika Syarikat kini turut diberikan sistem Automatic Engine Shut-Off, yang akan mematikan enjin dalam masa yang telah ditetapkan sekiranya kereta tersebut dibiarkan tidak bergerak. Untuk model gred LE, ia kini datang dengan opsyen Convenience Package yang tampil dengan perincian seperti pemantau titik buta, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin serta rim aloi 16-inci.

Sistem lintasan trafik belakang bersama pemantau titik buta pula kini akan diberikan standard pada model gred XLE dan XSE, namun ia ditawarkan secara opsyen untuk gred LE, LE Hybrid dan SE dengan kotak gear CVT.

Kemaskini lain termasuk sistem infotainmen Audio Plus termasuk Service Connect dan Remote Connect untuk varian XSE, dan ia boleh dipilih sebagai opsyen untuk pembeli model SE dengan transmisi CVT. Kedua-dua gred ini juga ditawarkan dengan pilihan pakej Premium Audio yang terdiri dari sistem bunyi JBL berkuasa 800-watt dan sembilan pembesar suara serta fungsi navigasi bersama servis terhubung.

Untuk gred SE pula, ia kini kembali hadir dengan versi Nightshade Edition, diberikan serlahan hitam pada rim aloi 18-inci, bampar, kemasan sekeliling gril hadapan, penutup cermin sisi, pembuka pintu, spoiler belakang, antena sirip yu serta lencana-lencana badan. Serlahan tersbut dikontraskan dengan pilihan warna badan Super White, Classic Silver Metallic dan Black Sand Pearl.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required