Hyundai sekarang sedang bekerja keras untuk membawa model konsep mereka ke fasa pengeluaran di mana antara contohnya adalah seperti model 45 dan Prophecy. Kia juga tidak ketinggalan. Model konsep Futuron yang pertama kali didedah hujung tahun lepas sudah dapat dilihat diuji atas jalan raya.

Walaupun besar kemungkinan Futuron ini akan diperkenalkan kepada pasaran sebagai sebuah SUV elektrik, sama sepeti 45, ia bagaimanapun mempunyai kedudukan yang rendah seperti kereta biasa. Kedua-dua cermin depan dan belakang agak condong, menghasilkan bentuk bumbung yang lebih rendah.

Pada bahagian hadapan, di sebalik kain yang menutupinya, kita dapat melihat lampu yang nipis, dan seperti bersambung dengan gril “tiger nose” yang lebih lebar. Bukaan udara di bahagian bawah bampar pula terdiri daripada beberapa jalur melintang.

Garis badan yang bermula dari hadapan, dan menaik di belakang melihatkan persamaan dengan model konsep yang didedahkan sebelum ini sementara rim pula menggunakan rekaan seperti turbin dengan warna dua tona. Bentuk tingkap kereta ini pula nampak seperti Hyundai Veloster.

Dijangka menggunakan platform Electric Global Modular Platform (E-GMP) sama seperti 45, Futuron versi produksi ini dilaporkan bakal menyediakan jarak gerak seingga 500 km dan boleh dicas secara pantas dalam masa cuma 20 minit. Ia akan dilancarkan pada tahun hadapan dan menjadi model pertama dalam barisan kenderaan elektrik baru Kia.