Subaru WRX dan WRX STI akan datang bakal dipadankan dengan enjin 2.4 liter – laporan

Subaru WRX dan WRX STI akan datang bakal dipadankan dengan enjin 2.4 liter – laporan

Model akan datang bagi Subaru WRX dan WRX STI dikhabarkan bakal menerima enjin 2.4 empat-silinder mendatar, seperti mana yang pernah dilaporkan oleh Forbes pada Februari lalu. Perkembangan terkini datang daripada satu lagi laporan, Car Sensor, media dari Jepun sendiri.

Menurut laporan terbabit, pengeluar Jepun ini dikatakan merancang untuk memasukkan enjin 2.4 liter sebagai salah satu daripada tiga pilihan penjana kuasa yang merangkumi 80% produksi enjin pengecas turbo menjelang tahun 2021. Ketiga-tiganya merupakan enjin pengecas turbo suntikan-terus, dan enjin kedua pula ialah unit 1.8 liter yang akan dipadankan dengan model generasi akan datang Levorg, dan ketiga pula merupakan versi 1.5 liter yang akan menggantikan enjin 2.0 NA sedia ada.

Langkah untuk menghasilkan enjin boxer baharu ini adalah untuk mematuhi peraturan emisi yang lebih ketat, malah model berprestasi tinggi bagi jenama berkenaan juga tidak dikecualikan kerana ia turut mengimplementasikan kaedah pengukuran bahan bakar yang sama untuk semua enjin Subaru. Oleh itu ia juga harus “memperoleh kecekapan bahan bakar bersesuaian dengan kapasiti enjin,” ujar laporan terbabit.

Alasan lain bagi hal ini ialah disebabkan sukan permotoran, atau kekurangannya. Hanya kejuaraan rali All Japan yang menawarkan tempat untuk enjin Subaru EJ20 untuk bersaing, dan ini sahaja tidak memberikan alasan yang cukup buat Subaru untuk terus menghasilkan enjin 2.0 liter. Malah World Rally Championship juga kini hanya menggunakan enjin 1.6 liter, dan Subaru sudah lama menarik diri dari perlumbaan tersebut.


Model konsep Subaru Viziv Performance STI (kiri) dan WRX STI EJ20 Final Edition (kanan)

Kebolehan mengendalikan kuasa merupakan alasan ketiga untuk menggunakan enjin berkapasiti lebih besar bagi WRX dan WRX STI akan datang. Menurut laporan terbabit, kapasiti yang lebih besar membolehkan enjin tidak terlalu terbeban pada tahap output tertentu. Apabila WRX STI 2.4 liter dihasilkan, ia disasarkan untuk menghasilkan 400 hp dan tork 490 Nm, atau pun hampir dengan enjin 2.0 liter turbo empat-silinder M139 Mercedes-AMG berkuasa 421 hp/500 Nm, yang dijadikan sebagai penanda aras bagi Subaru.

WRX STI Diamond Edition untuk pasaran Afrika Selatan diperkenalkan pada November 2018, dan ia merupakan variasi terakhir bagi enjin EJ257 2.5 liter yang telah berkhidmat untuk beberapa generasi, bermula tahun 2004 pada Impreza WRX STI untuk pasaran Amerika Utara. Ia menghasilkan kuasa sebanyak 348 hp dan tork 468 Nm untuk Diamond Edition, atau lebih 52 hp dan 57 Nm untuk model biasa WRX STI.

Enjin EJ20 pada WRX STI EJ20 Final Edition pula dihasilkan untuk angka kuasa yang lebih rendah iaitu sekitar 308 PS dan tork 422 Nm. Pacuan disalurkan ke semua-roda menerusi transmisi manual enam-kelajuan. Manakala penjana kuasa EJ20 2.0 liter pula telah digunakan selama 30 tahun pada beberapa model.

Enjin 2.4 liter suntikan-terus boxer empat-silinder telah pun digunakan pada SUV Subaru Ascent, yang menghasilkan kuasa sehingga 260 hp pada 5,600 rpm dan tork 375 Nm dari 2,000 hingga 4,800 rpm, disalurkan oleh pacuan semua-roda menerusi kotak gear Lineartronic CVT dengan fungsi mod manual lapan-kelajuan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required