Jaguar Land Rover bangunkan skrin sesentuh ‘tanpa sentuhan’ – elak penularan virus, mudahkan pengguna

Jaguar Land Rover bangunkan skrin sesentuh ‘tanpa sentuhan’ – elak penularan virus, mudahkan pengguna

Dari sudut negatif, pandemik Covid-19 telah menyebabkan pelbagai industri di seluruh seluruh dunia terjejas termasuk industri automotif. Namun ada juga sudut positif dari pandemik ini khususnya dari segi inovasi – jika Geely menghasilkan penapis udara kabin dengan standard turasan N95 (Proton juga telah menggunakannya), Jaguar Land Rover (JLR) pula kini tampil dengan teknologi skrin sesentuh yang boleh beroperasi tanpa sentuhan.

JLR membangunkan teknologi ini bersama Universiti Cambridge, dan telah dipatenkan dengan nama “Predictive Touch,” dihasilkan dengan tujuan bagi mengelakkan penyebaran bakteria dan virus menerusi permukaan skrin tersebut. Teknologi ini dihasilkan berasaskan kecerdasan buatan (A.I), serta menggunakan penderia bagi meramal apa yang mahu dipilih oleh pengguna pada skrin berkenaan.

Ini membolehkan pengguna mengoperasikan semua fungsi pada skrin sesentuh tersebut seperti sistem navigasi, penghawa dingin dan juga larasan sistem hiburan tanpa sebarang sentuhan fizikal. Lebih spesifik, sistem ini sebenarnya menggunakan A.I bagi mengenalpasti pilihan yang mahu dibuat oleh pengguna lebih awal sebelum jari tiba berdekatan dengan skrin.

A.I juga akan menggunakan maklumat dari pengesan gestur yang berfungsi berasaskan penderia visi atau frekuensi radio, informasi konteks yang digabungkan seperti profil pengguna, rekaan antaramuka dan keadaan sekeliling bersama data yang diterima dari penderia lain seperti pengesan pandangan mata, bagi membantu ketepatan dalam masa sebenar.

Selain dari mengelakkan penularan wabak, sistem ini sebenarnya turut dapat memudahkan interaksi pemandu terhadap skrin dan menjimatkan masa sebanyak 50%. Ia juga akan memudahkan pengguna menggunakan skrin sesentuh ini pada laluan yang tidak rata.

Teknologi Predictive Touch ini merupakan salah satu visi dalam Destination Zero JLR, iaitu visi bagi menghasilkan kenderaan lebih selamat dan juga persekitaran yang lebih bersih dan sihat. Visi ini turut menyenaraikan teknologi lagi dalam JLR seperti Pemantau Keadaan Pemandu, mengurangkan bunyi enjin dan juga ionisasi udara kabin dengan turasan PM2.5.

“Seiring dengan kebanyakkan negara dalam dunia sedang keluar dari kawalan pergerakan, kami sedar berapa banyak transaksi yang dibuat oleh konsumer menggunakan skrin sesentuh: tiket tren dan panggung wayang, mesim ATM, daftar masuk lapangan terbang dan juga daftar keluar layan diri di pasaraya, serta aplikasi perindustrian dan pembuatan,” kata pakar teknikal antaramuka mesin manusia di JLR, Lee Skrypchuk.

“Teknologi Predictive Touch ini akan menyisihkan keperluan untuk menyentuh paparan interaktif dan akan mengurangkan risiko penularan bakteria atau virus pada permukaan. Teknologi ini juga menawarkan kami peluang untuk menjadikan kenderaan lebih selamat dengan mengurangkan beban kognitif pada pemandu dan meningkatkan jumlah masa mereka bagi menumpukan pada pemanduan, Ini merupakan perkara utama dalam perjalanan Destination Zero kami,” tambahnya lagi.

“Skrin sesentuh dan paparan interaktif lain merupakan sesuatu yang kebanyakkan orang menggunakannya banyak kali setiap hari, tetapi ia akan menjadi sukar untuk digunakan ketika bergerak, sama ada sedang memandu atau menukar lagu pada telefon pintar anda ketika berlari. Kami juga tahu patogen tertentu boleh merebak melalui permukaan, jadi teknologi ini boleh membantu mengurangkan risiko untuk penularan jenis tersebut,” kata Simon Godsill dari Jabatan Kejuruteraan Universiti Cambridge.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required