Teaser sudah dikeluarkan sejak tahun lepas lagi, dan kini akhirnya Lamborghini Essenza SCV12 didedahkan secara rasmi. Hanya 40 unit sahaja yang akan dibuat dan Lamborghini memanggilnya sebagai satu “keturunan langsung bagi model seperti Miura Jota dan Diablo GTR.”

Hypercar terbaru Lamborghini ini menggunakan enjin V12 NA yang paling berkuasa pernah dihasilkan oleh syarikat itu, dengan saiz 6.5 liter dan kuasa sehingga 830 PS (819 hp) – mengalahkan Sian FKP hibrid (808 hp). Menurut Lamborghini, antara penyumbang kepada kuasa yang tinggi ini adalah kesan ram-air yang diperolehi pada kelajuan tinggi melalui bonetnya.

Ada dua bukaan udara pada bonet ini, serta lekuk yang menghalakan angin kepada skup atas bumbung, dan ia membantu menyampaikan tekanan angin dinamik kepada salur intake, seterusnya meningkatkan kuasa. Bahagian lain yang turut memberi kesan adalah ekzos khas rekaan Capristo yang dapat mengurangkan back pressure sekaligus meningkatkan prestasinya.

Kuasa daripada enjin disampaikan kepada roda belakang melalui kotak gear sequential enam kelajuan, yang juga bertindak sebagai penyokong struktur kepada casis gentian karbon kereta ini. Suspensi jenis pushrod dipasang terus pada casis untuk mengurangkan berat sementara nisbah kuasa kepada berat pula adalah 1.66 hp/kg. Rim bersaiz 19 inci di hadapan, 20 inci di belakang (binaan magnesium) dan dibalut dengan tayar slick Pirelli.

Untuk ciri aerodinamik, jurutera Lamborghini Squadra Corse yang membangunkan kereta ini dapat menghasilkan daya tolakan ke bawah (downforce) sehingga 1,200 kg pada kelajuan 250 km/j dan jumlah ini adalah lebih daripada sebuah kereta lumba GT3. Selain rekaan bonet khas, kereta ini juga mempunyai splitter hadapan, sirip menegak di tepi dan sayap belakang yang boleh dilaras.

Satu lagi yang menarik, struktur binaan badan SCV12 ini hanya melibatkan tiga elemen bagi memudahkan ia dibuka dan ditukar jika perlu waktu berhenti di pit perlumbaan. Empat grafik badan ditawarkan semasa pelancaran iaitu Verde Silvans, Grigio Linx, Nero Aldebaran Gloss dan Arancio California.

Masuk ke bahagian dalam anda akan menyaksikan papan pemuka yang dibuat daripada gentian karbon dan banyak elemen rekaan berbentuk Y yang nampak seperti sayap jet pejuang. Stereng mendapat inspirasi daripada jentera F1 dengan pelbagai butang kawalan dan informasi sementara tempat duduk pula menggunakan unit OMP yang mendapat kelulusan FIA.

Disebabkan SCV12 adalah sebuah kereta yang hanya boleh dibawa dalam litar, pembeli juga akan diberikan program khas di beberapa litar terkenal dunia bersama pasukan sokongan daripada Lamborghini sendiri. Selain daripada itu, setiap kereta juga datang dengan servis simpanan di gudang binaan khas untuk kelab SCV12 di Sant’Agata Bolognese dan pemilik boleh melihat kenderaan mereka 24 jam melalui aplikasi kamera yang disediakan.

Tidak cukup dengan itu, jika pemilik mahu merasakan pengalaman sebenar menjadi pelumba, mereka juga boleh menyertai Lamborghini Squadra Corse Drivers Lab by Tecnobody, iaitu program latihan atletik sama seperti yang dilakukan oleh pelumba Lamborghini.