Proton Wira pertama di Nürburgring – projek adik-beradik kembar dari Belanda dengan semangat M’sia!

Proton Wira pertama di Nürburgring – projek adik-beradik kembar dari Belanda dengan semangat M’sia!

Tahun lepas kita ada Hadri, anak jati Malaysia yang memandu Toyota Corolla AE86 Sprinter Trueno dari Malaysia ke litar ‘The Green Hell’ Nürburgring di Jerman, melalui jalan darat. Tak tahulah anda cakna atau tidak, baru-baru ini tular ada sebuah Proton Wira dengan skema warna Teksi Malaysia dilihat dipandu di litar yang menjadi destinasi impian peminat sukan permotoran dari seluruh dunia itu!

Dengan rasa ingin tahu yang sangat kuat, kami cuba menyiasat siapa pemilik Wira yang nampak sangat ‘Malaysia’ ini, dan akhirnya dapat juga berhubung dengan mereka secara atas talian untuk mengetahui perkara sebenar. Memperkenalkan, adik-beradik kembar dari Belanda, Jochem dan Ruben Gravemade.

Jochem dan Ruben sememangnya kaki kereta – Jochem mempunyai berberapa buah Honda, manakala Ruben pula memilik Subaru Impreza WRX GC8. Kedua-dua mereka ini mempunyai garaj sendiri untuk melakukan segala kerja pembaikan dan ubahsuai kereta masing-masing, dan menggelar diri mereka sebagai Dutch DIY Mechanic (DDM).

Proton Wira pertama di Nürburgring – projek adik-beradik kembar dari Belanda dengan semangat M’sia!

Ok, kenapa tiba-tiba nak main Proton Wira? Untuk pengetahuan anda, pasangan kembar ini sebenarnya pernah membesar di Malaysia. Mereka pernah menetap di Ampang dari 1997 hingga 2001, dan dari 2009 hingga 2011 – tujuh tahun secara keseluruhan di sini.

Seperti kebanyakkan warga asing yang pernah tinggal di sini, adik beradik Gravemade ini sudah jatuh cinta dengan Malaysia. Dan sebagai kaki kereta, Jochem dan Ruben juga berpendapat Malaysia sebenarnya mempunyai kereta buatan tempatan yang bagus.

Jadi setelah pulang ke Belanda, mereka mempunyai misi untuk memberitahu dunia bahawa Malaysia ada kereta yang baik iaitu Proton. Dan tempat paling bagus untuk tujuan tersebut adalah litar Nürburgring – litar yang menjadi tumpuan pemilik-pemilik kereta majoriti jenama dari seleruh dunia untuk menguji jentera dan kemahiran memandu masing-masing.

Proton Wira pertama di Nürburgring – projek adik-beradik kembar dari Belanda dengan semangat M’sia!

Mereka menggelar projek ini sebagai “Project Proton” dengan memilih Wira sebagai bahan projek. Pasti anda beranggapan Proton Wira milik mereka ini dibeli dari UK bukan? Cuba anda perhatikan betul-betul, UK masih menggunakan konfigurasi pemanduan sebelah kanan sama seperti Malaysia, tetapi Wira milik mereka ini adalah dari versi pemanduan sebelah kiri.

Proton Wira pertama yang mereka beli untuk projek ini adalah model pasaran Jerman, yang berjaya mereka bawa pulang pada 5 Julai 2019. Jochem memberitahu kami Proton memang ada menjual Wira pada pasaran Jerman pada lewat era 90’an tetapi dalam jumlah yang agak kecil.

Dan untuk pengetahuan anda, dari tahun 1996 hingga tahun 2002, pemandu rali Jerman, Hermann Gassner memandu ‘Proton Wira Evo III’, Proton PERT Evo V dan Proton PERT Evo VI di bawah pasukan Proton Kathrein Rallye Team dalam kejohanan rali di negara berkenaan.

Proton Wira pertama di Nürburgring – projek adik-beradik kembar dari Belanda dengan semangat M’sia!

Kembali ke cerita Jochem, malangnya enjin 4G13 1.3 liter pada Wira pertama yang dibeli tersebut “rusak” (ya, Jochem yang cakap “rusak”, bukan kami terjemah). Mereka kemudiannya mencari enjin gantian, walau bagaimanapun satu lagi enjin 4G13 yang dibeli tersebut turut tidak boleh berfungsi dengan sempurna kerana masalah pendawaian.

Namun, adik beradik itu agak bernasib baik kerana berjaya membeli sebuah lagi Wira, kali ini dari model Aeroback dan ia dari varian yang lebih berkuasa dengan enjin 1.5 liter 4G15, di beli dari seorang pemilik yang membeli kereta tersebut baru di bilik pameran.

Jadi projek ini diteruskan dengan Wira Aeroback berkenaan, dan Wira pertama yang dibeli tadi dijadikan sebagai sumber alat ganti. Kerja-kerja restorasi dan ubahsuai untuk kereta kedua tersebut berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah besar, dan menurut Jochem lagi alat ganti untuk bahagian mekanikal tidak sukar untuk diperolehi kerana Wira banyak berkongsi komponen dengan Mitsubishi Lancer, Colt dan Galant di sana.

Untuk menjadikan kereta ini lebih ikonik, adik beradik Gravemade ini mengecat semula badan Wira Aeroback tersebut dengan warna merah-putih seperti teksi di Kuala Lumpur. Malah pada pintu hadapan, lencana teksi Malaysia turut dipadankan dengan nama syarikat acah-acah “DDM Dutch Mechanics Sdn Bhd” serta tulisan “Teksi Ampang”. Malah pelekat McDonald’s VIP drive-thru pada cermin hadapan kereta ini juga adalah asli dari Malaysia, diberikan oleh rakan di sini.

Bagi membolehkan kereta ini dipandu di Litar Nürburgring dengan lebih yakin, ia diberikan rim aloi OZ-Racing 16-inci yang dibalut dengan tayar Toyo Proxes R1R. Suspensi diolah sedikit dengan penggunaan spring jenis sport, dan brek pula diberikan pad yang lebih baik. Kedua-dua tempat duduk asal hadapan turut diganti dengan tempat duduk bucket dari Sparco.

Kereta ini akhirnya berjaya di bawa ke Nürburgring pada 5 Julai lalu, bukan sahaja untuk melengkapkan misi mereka, malah sempena ulangtahun pertama mereka berjaya membawa pulang Proton Wira pertama untuk projek ini. Mereka kemudian sekali lagi telah ke litar berkenaan pada Ogos lalu.

Sebenarnya projek ini belum lagi lengkap sepenuhnya. Jochem menyatakan bahawa mereka mahu melengkapkan kereta ini 100% menjadi sebuah teksi Malaysia dengan penanda bumbung, dan juga meter teksi lengkap dengan pencetak resit! Kesemua peralatan tersebut juga telah mereka perolehi, diposkan ke sana oleh seorang pengikut mereka di Instagram dari Pulau Pinang, di mana kesemua komponen berkenaan adalah dari teksi milik pakciknya yang tidak lagi digunakan.

Setelah kesemua ini siap dipasang, Jochem dan Ruben merancang untuk sekali lagi ke Nürburgring pada hujung Ogos atau awal September nanti – kali ini mereka turut akan ‘mengenakan tambang’ untuk penumpang yang mahu ikut untuk mengelilingi litar sepanjang 20.832 km tersebut berdasarkan meter teksi yang telah dipasang nanti.

Kami sertakan sekali video-video dari akaun YouTube adik beradik DDM ini di bawah. Dan anda boleh ikuti perkembangan seterusnya perkembangan “Project Proton” tersebut menerusi akaun Youtube dan Instagram rasmi mereka.



Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required