Akhirnya, selepas 98 hari mengembara dari Putrajaya, Malaysia, Engku Mohamed Hadri telah pun berjaya tiba ke litar Nürburgring di Jerman semalam (2 Nov 2019) bersama Toyota Sprinter Trueno AE86 hanya menerusi jalan darat dengan perjalanan sejauh lebih dari 25,000km!

Perjalanan yang mengambil masa selama 14 minggu berkenaan memerlukan Hadri dan dua lagi ahli pasukan Retro Havoc World Motorsport Tour iaitu Sharifah Nur Sharmila (juru pandu arah), serta Abdul Rahman Halid (mekanik dan pemandu gantian) merentasi Thailand, Laos, China, Mongolia, Kazakhstan, Russia dan tiba di benua Eropah pertengahan bulan lalu menerusi Latvia.

Tiada masalah ditimbulkan oleh AE86 ini, dan suspensi yang dibekalkan oleh pakar suspensi tempatan, FTuned Suspension membolehkan kereta tersebut melalui pelbagai permukaan muka bumi dengan selamat. Malah Hadri turut menerima satu set tayar Yokohama Advan AD08R bagi menggantikan tayar Advan Fleva sumbangan Yokohama Tyres Jepun setelah mereka mengetahui AE86 itu berada Beijing, China pada 9 September lalu.

Pasukan ini turut menerima sambutan dari komuniti-komuniti sukan permotoran di setiap negara yang mereka tiba, malah turut dijemput untuk memandu di litar Red Ring, Russia ketika sampai di sana. Malah ketika di China, mereka turut ‘ditahan’ oleh seorang pemuda semata-mata takjub melihat AE86 berkenaan pertama kali di depan mata, yang sebelum ini hanya boleh dilihat di internet, filem dan juga animasi Initial D.

Sebelum ‘membelasah’ AE86 ini di litar ‘The Green Hell’ berkenaan, Hadri sempat membuat talaan semula kereta berkenaan di Boulogne Autoworks, Belanda. Antara perkara yang dibuat adalah menukar tempat duduk standard belah pemandu kepada tempat duduk bucket penuh, set suspensi baharu juga dari FTuned khas untuk Nürburgring, dan juga satu set tayar Advan AD08R baharu dari Yokohama Malaysia – kesemua ini dipos terus dari Malaysia ke Belanda.

Bagi yang belum mengenali Hadri dan bagaimana tercetusnya idea serta visinya untuk menamatkan ekspedisi ini, anda boleh membaca artikel khas dari kami pada PAUTAN INI. Macam mana Hadri ‘menyerang’ litar Nürburgring? Enjoy video yang dikirimkan oleh pengasas Retro Havoc, Alie Kuoppa di bawah ini!