Kia Stinger facelift 2020 – gambar luaran didedah awal

Kia Stinger facelift 2020 – gambar luaran didedah awal

Tiga tahun selepas ia diperkenalkan buat pertama kali kepada dunia, Kia Stinger kini diberikan facelift dan gambar awalnya telah pun didedahkan. Model yang mempunyai bentuk fastback ini akan mula dijual di Korea pada suku ketiga tahun 2020, diikuti pasaran lain selepas itu. Buat masa ini, hanya rupa luar yang ditunjuk sementara perincian lain disimpan sehingga hari pelancaran tidak lama lagi.

Tengok sekali imbas, agak sukar untuk mengetahui perbezaannya tetapi Kia memberitahu ada peningkatan yang dibuat. Sebagai contoh, lampu utama dan lampu siang LED padanya kini mempunyai rekaan baru, serta tampil lebih gelap dan garang apabila tidak menyala.

Perubahan lampu belakang adalah lebih jelas, dengan jalur cahaya yang bersambung dari kiri hingga kanan lebih jelas menunjukkan bentuk butnya. Lampu penunjuk arah yang terdiri daripada 10 bintik LED kini disusun dalam dua baris dan direka untuk menyerupai bendera tamat perlumbaan (chequered flag).

Untuk varian Stinger yang lebih berkuasa, Kia menawarkan pilihan muncung ekzos lebih besar dengan kemasan perak terang, serta diffuser yang mempunyai lebih fungsi. Pelanggan juga boleh memilih beberapa warna baru, serta rekaan rim baru 18 atau 19 inci.

Kia Stinger facelift 2020 – gambar luaran didedah awal

Pilihan tambahan lain adalah termasuk Dark Package untuk varian prestasi tinggi GT, yang menambah kemasan diffuser hitam berkilat, muncung ekzos hitam serta lencana “Stinger”. Pakej yang sama untuk Amerika Syarikat juga datang dengan rim 19 inci serta sayap belakang, pelindung cermin sisi dan kemasan fender baru.

Bahagian dalam tidak banyak berubah, tetapi ada sedikit peningkatan seperti kemasan metalik pada bahagian bawah roda stereng, dan menjadikannya serasi dengan kemasan krom pada keliling panel instrumen digital tujuh incinya.

Selain daripada itu, cermin pandang belakang yang digunakan sekarang tidak mempunyai rangka tepi (frameless), sementara papan pemuka dan panel pintu melihatkan penggunaan jahitan berwarna kontras. Bahagian konsol tengah juga datang dengan pilihan kemasan aluminium atau gentian karbon manakala skrin infotainmen telah dinaik taraf kepada unit sesentuh 10.25 inci. Satu lagi yang ditambah adalah lampu suasana 64 warna.

Kia Stinger facelift 2020 – gambar luaran didedah awal

Warna bahagian dalam dan pilihan bahan yang digunakan bergantung kepada pasaran. Di Korea, pelanggan mempunyai pilihan warna dalam Dark Brown bersama tempat duduk yang dibalut kulit Nappa manakala untuk pasaran lain, terdapat pilihan kulit berwarna Saturn Black, Red dan Beige.

Seperti yang dinyatakan awal tadi, perincian teknikal model ini hanya akan didedahkan kemudian dan kami masih belum pasti sama ada varian GT yang paling tinggi akan menerima tambahan kuasa berbanding 365 hp dan 510 Nm yang dihasilkan sekarang melalui enjin V6 twin turbo Lambda II 3.3 liter padanya.

Enjin lain yang turut ditawarkan pada Stinger sekarang adalah termasuk unit empat silinder turbo Theta II 2.0 liter berkuasa 252 hp dan 353 Nm tork, serta unit empat silinder diesel turbo 2.2 liter yang berkuasa 199 hp dan 441 Nm tork. Semua enjin ini datang dengan transmisi automatik lapan kelajuan serta pilihan pacuan sama ada semua roda atau dua roda belakang sahaja.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required