PANDU UJI: Subaru Forester GT Edition 2020 pilihan untuk yang gemarkan gaya dan prestasi menguja

PANDU UJI: Subaru Forester GT Edition 2020 pilihan untuk yang gemarkan gaya dan prestasi menguja

Jika membeli sebuah SUV pacuan empat-roda, adakah anda akan memandang imej atau prestasinya sebagai keutamaan? Pada waktu ini, tidak sukar untuk mencari gabungan kedua-dua kriteria berkenaan pada sesuatu model. Makin banyak model SUV yang miliki imej yang bergaya dengan prestasi yang boleh ‘tahan sedap’ di pasaran.

Ini termasuklah Subaru Forester yang kini ditawarkan dengan varian Forester GT Edition 2020 yang diperkenalkan di pasaran Malaysia pada 1 Jun lalu. Dengan set kit badan GT Edition, ternyata varian ini semakin menyingkirkan imej ‘pakcik-pakcik’ pada model terdahulu, malah ia juga bersifat berjiwa muda, sesuai dengan imej ranggi dan paling penting prestasinya tidak juga kalah.

Bagi menampakkan kelainan dan keunikannya berbanding varian standard, Forester GT Edition ini ditampilkan dengan kit badan yang lebih bergaya dan tampak sporty. Ia hadir dengan padanan bampar hadapannya juga lebih menyerlah dan gaya luarannya tambah lengkap dengan skirt sisi, spoiler belakang dan lip extension pada bampar belakang yang memberikan sentuhan lebih agresif walau pun tidak keterlaluan.

Selain itu, roda aloi 18-inci bersama centre caps yang tertera huruf “GT”, yang dibaluti tayar 225/55, turut menambahkan lagi penggayaannya.

Secara keseluruhannya, imej yang diperagakan untuk bahagian luarannya, lebih menarik pada bahagian hadapan berbanding belakang yang nampak biasa-biasa saja. Walau bagaimana pun, bagi yang berminat untuk memiliki Forester dan mahukan sedikit kelainan pada imej berbanding model standard, Forester GT Edition ini boleh dipertimbangkan.

Kelainan yang ditampilkan juga melibatkan sedikit sentuhan yang lebih kemas untuk bahagian kabin. Ini termasuklah padanan kemasan kulit upholstery spesifik-GT Edition.

Selain itu, ia juga menerima sistem paparan audio lapan-inci dengan sokongan terhadap Apple CarPlay dan Android Auto. Ciri peninjau sekeliling 360-darjah juga memudahkan lagi pemandu mengendalikan SUV ini di laluan sempit.

PANDU UJI: Subaru Forester GT Edition 2020 pilihan untuk yang gemarkan gaya dan prestasi menguja

Seperti model standard Forester, versi GT Edition ini masih dijanakan oleh enjin 2.0 liter empat-silinder boxer petrol yang mampu menghamburkan kuasa hingga 156 PS pada 6,000 rpm dan 196 Nm pada 4,000 rpm. Ia turut digandingkan dengan transmisi Lineartronic CVT dan juga sistem pacuan Symmetrical All-Wheel Drive. Ia turut menampilkan ciri Special X-Mode yang membolehkan pacuannya beralih antara mod Snow/Dirt dan Deep Snow/Mud.

Jika anda sanggup membawa Forester GT Edition ini ke laluan off-road, ia cukup sesuai dan mudah memberikan kerjasama dalam menghasilkan pengendalian yang memuaskan. SUV ini tidak begitu banyak karenah jika mengharungi cabaran laluan off-road berskala sederhana. Ini kerana ciri Symmetrical All-Wheel Drive dan X-Mode berkeupayaan membantu mengendalikan pemanduan dalam laluan sebegini.

Untuk menggunakan X-Mode, ada tombol butang kawalan yang perlu anda pilih mod yang bersesuaian untuk digunakan. Jika melalui laluan berlumpur, pilih saja Deep Snow/Mud kerana ia akan membantu pengendalian dengan tolakan tayar yang lebih mudah lajak bagi menggerakkan kenderaan.

PANDU UJI: Subaru Forester GT Edition 2020 pilihan untuk yang gemarkan gaya dan prestasi menguja

Bila anda menggunakan X-Mode, ia dengan secara automatik juga akan turut mengaktifkan fungsi kawalan menuruni curam. Jadi bila menuruni bukit, pastikan kaki anda bebas daripada memijak pedal pendikit mahu pun pedal minyak. Biarkan sistem ini mengawal sepenuhnya pengendalian sewaktu menuruni bukit. Jika sewaktu menuruni bukit, anda tertekan pedal pendikit atau minyak, sistem secara automatic akan nyah aktif kerana menganggap anda mahu mengambil alih pengendalian sepenuhnya.

Satu lagi, sekiranya anda sudah bebas daripada laluan yang mencabar dan terlupa untuk menyahaktifkan semula X-Mode, jangan risau kerana sistem ini akan dimatikan sendiri apabila kenderaan bergerak cecah 40 km/j.

Walau pun memiliki karateristik sebagai sebuah SUV bersaiz besar (biar pun bukan dengan kapasiti tujuh-tempat duduk), namun Forester tidaklah sukar untuk dikendalikan, Dengan jarak kelegaan tanah (ground clearance) mencecah 220 mm, jika terpaksa menempuhi laluan yang bertakung air, mungkin anda boleh main redah saja (tapi kena tahu juga kedalaman takungan air tersebut, selamat diredah atau tidak).

PANDU UJI: Subaru Forester GT Edition 2020 pilihan untuk yang gemarkan gaya dan prestasi menguja

Selain itu, Forester juga memiliki radius pusingan yang boleh dikatakan baik. Tidak sukar sekiranya terpaksa melalui selekoh sempit atau pun mahu membuat pusingan U.

Forester GT Edition ini juga dilengkapi dengan pakej keselamatan atau ciri bantuan pemanduan EyeSight. Sistem ini menggunakan dua kamera yang terletak di bahagian atas cermin utama. Hanya dua kamera ini dan tiada radar atau lain-lain input yang digunakan menilai situasi semasa dan memaklumkan sistem EyeSight untuk membantu pemandu.

Selain itu, ia juga dilengkapi dengan aspek keselamatan lain termasuklah brek pra-perlanggaran, pengurusan pendikit, amaran pertukaran lorong, kawalan melayar adaptif, bantuan menukar lorong, amaran lintasan trafik belakang, tinjauan cermin sisi dan sistem pengesan titik buta.

PANDU UJI: Subaru Forester GT Edition 2020 pilihan untuk yang gemarkan gaya dan prestasi menguja

Sementara itu, ia masih kekal dengan empat beg udara, ABS dengan EBD, Bantuan Brek, Isyarat Berhenti Kecemasan, sistem Pedal Keselamatan, Penvektoran Tork Aktif, sistem Kawalan Dinamik Kenderaan dan juga cagak ISOFIX.

Forester GT Edition ini hadir dengan tujuh pilihan warna iaitu Crystal White Pearl, Ice Silver Metallic, Jasper Green Metallic, Horizon Blue Pearl, Sepia Bronze Metallic, Dark Grey Metallic dan Crystal Black Silica.

Dengan penawaran harga RM178,888, iaitu lebih RM8,000 berbanding varian 2.0i-S EyeSight, Forester GT Edition 2020 ini dilihat antara pilihan terbaik untuk SUV lima-tempat duduk yang menampilkan gaya yang sporty dan ranggi serta mampu meredah laluan off-road berskala sederhana.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required