Pengedar rasmi motosikal Yamaha di Malaysia iaitu Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) Sdn Bhd telah mengeluarkan notis panggilan balik untuk skuter NVX 155, bagi menggantikan suis lampu brek di bahagian hadapan. Aktiviti ini akan dimulakan di beberapa buah negeri, secara berperingkat.
Motosikal yang terlibat adalah yang mempunyai nombor kerangka seperti yang dilampirkan di bawah, dan HLYM akan menghantar notis kepada pemilik bermula pertengahan bulan Ogos. Setelah mendapat notis tersebut, pemilik boleh menghubungi pengedar motosikal Yamaha yang berdaftar untuk proses penukaran alat yang terlibat. Mereka juga boleh melayari laman web rasmi HLYM atau aplikasi Yamaha Motor Malaysia untuk maklumat lanjut.
Panggilan berkenaan masalah ini bukan sahaja melibatkan Malaysia malah sebelum ini di Indonesia juga panggilan balik yang sama telah dilakukan pada awal tahun ini. Sebelum barang tersebut ditukar, HLYM menyatakan pemilik masih boleh menunggang motosikal mereka dan ikuti arahan dalam buku manual seperti biasa.
Mengikut pemahaman kami, suis ini adalah suis untuk menyalakan dan mematikan lampu brek belakang apabila tuil brek hadapan ditarik untuk membrek dan ia tidak akan memberi kesan secara langsung kepada prestasi brek itu sendiri.
Terdapat ketikanya suis itu tidak berfungsi dengan baik dan apabila tuil ditarik lampu brek sama ada akan menyala terus ataupun tidak menyala. Penukaran dilakukan bagi memastikan lampu tersebut boleh menyala dan padam mengikut cara yang sepatutnya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.