Volvo S90 facelift kini sudah dilihat sedang diuji di Malaysia. Unit contoh yang dilihat ini menggunakan lencana T8 AWD Recharge pada bahagian but belakang, yang merupakan penjenamaan semula model-model plug-in hybrid oleh pengeluarnya, menggantikan nama Twin Engine yang digunakan sebelum ini. Sama seperti S90 sebelum ini, ia merupakan unit CKD untuk pasaran tempatan.

Jika diperhatikan pada penampilan sulung model facelift ini untuk pasaran global, ia mengenakan bampar yang direka semula dan kemasan krom yang ketara pada bahagian depan dan juga belakang, seperti yang dapat dilihat pada gambar yang ada ini. Kemaskini terbaru ini juga melibatkan rekaan lampu belakang baru, tiada lagi outlet untuk ekzos pada bahagian bawah bampar (sebelum ini kemasan krom trapezoid).

Sistem janaan kuasanya dijangka akan diteruskan dengan sistem dua desakan (supercas dan turbocas) pada unit 2.0 liter empat-silinder petrol dengan janaan output keseluruhan 407 hp dan 640 Nm tork. Daripada angka-angka ini, 320 hp dan 400 Nm dihasilkan oleh enjin, dan 87 hp dan 240 Nm dari motor elektrik yang terletak di gandar belakang.

Di dalam juga perubahan yang dilakukan tidak terlalu ketara. Bagi tingkat kemasan Inscription, ia akan menerima tombol gear Orrefors yang direka bentuk semula, Advanced Air Cleaner dengan penapis udara PM2.5 serta sistem bunyi dipertingkat Bowers & Wilkins dengan amplifier baru dan ciri active noise cancellation.

Di Malaysia, model Volvo S90 semasa ketika ini terdiri daripada versi T8 Twin Engine dan versi T5 yang dikuasakan oleh enjin 2.0 liter turbocas Drive-E empat-silinder dengan 254 PS dan 350 Nm dari 1,500 hingga 4,800 rpm. Model facelift ini nanti akan mengikut arah tuju global bagi semua varian elektrifikasi Volvo keseluruhannya dengan sistem 48-volt mild-hybrid, yang datang dalam bentuk B5 250 hp/350 Nm dan B6 300 hp/420 Nm ketika pelancarannya.

Walaupun sudah kelihatan diuji atas jalan raya Malaysia, Volvo S90 facelift ini bagaimanapun khabarnya tidak akan dilancarkan tahun ini, disebabkan segala perancangan telah terkesan oleh pandemik Covid-19. Kemungkinannnya, pada 2021 barulah pasaran tempatan akan menerima model ini.