Geely dan Volvo – fakta nombor 10 tahun kerjasama

Lebih 10 tahun lalu, pada 2 Ogos 2010 menjadi detik rasmi jenama dari Sweden iaitu Volvo Cars yang sebelum itu bernaung di bawah Ford, diambil alih sepenuhnya gergasi automotif China, Zhejiang Geely Holding (ZGH) apabila rundingan berkenaan lengkap. Pengambilalihan tersebut bukan sekadar memberikan keuntungan pada sebelah pihak, sebaliknya ia membawa perubahan dan perkembangan yang sangat besar untuk kedua-dua jenama.

Bagi meraikan ulangtahun sedekad kerjasama bersejarah ini, Geely telah menyiarkan satu video yang mengandungi fakta nombor berkenaan apa yang telah mereka kecapi dari mula sehingga ke hari ini.

Pertama sekali adalah pendapatan. Pada tahun 2009, Volvo Cars mencatatkan pendapatan sebanyak 95.7 bilion krona Sweden (SEK), manakala Geely Auto pula memperolehi pendapatan 14.069 bilion yuan China (CNY). Setelah berberapa tahun kerjasama ini berlangsung, kedua-dua syarikat tersebut berjaya melangkaui angka 100-bilion di mana Volvo mencapai SEK274.12 bilion dan Geely merekodkan CNY106.6 bilion.

Untuk keuntungan bersih pula, Volvo mencatatkan kerugian SEK5.19 bilion pada 2009, manakala Geely pula untung sejumlah CNY1.319 bilion pada tahun sama. Namun pada tahun 2019, Volvo berjaya mencatatkan keuntungan bersih SEK14.3 bilion, manakala keuntungan Geely meningkat 10 kali ganda dengan CNY12.674 bilion pada tahun 2018.

Angka keuntungan yang meningkat ini sudah tentu diterjemahkan dari jumlah jualan tahunan kereta kedua-dua jenama. Tahun lalu, Volvo berjaya menjual sebanyak 705,000 unit kenderaan, berbanding hanya 335,000 unit pada tahun 2009. Jualan Geely menunjukkan peningkatan yang jauh lebih tinggi di mana mereka menjual 327,000 unit pada 2009, dan mencapai angka jualan tahunan sejuta pada tiga tahun kebelakangan ini, di mana angka terkini adalah pada 2019 dengan jualan 1.362 juta unit.

Dalam senarai 500 syarikat terbaik berdasarkan pendapatan iaitu Fortune Global 500, Geely pertama kali disenaraikan pada tahun 2012 dengan menduduki tangga ke 475. Manakala tahun lalu, syarikat tersebut berada di tempat lebih tinggi iaitu pada kedudukan ke 220.

Produk-produk baharu merupakan faktor utama dalam peningkatan angka-angka tadi. Geely berjaya mengembangkan pusat-pusat R&D mereka dari hanya sebuah di China pada 2009, sehingga mencapai 10 buah di serata dunia pada tahun 2020, termasuk salah satunya di Malaysia yang ditubuhkan bersama Proton.

Ini membolehkan kerja-kerja R&D menghasilkan empat platform utama yang menjadi asas kepada kebanyakkan model Geely dan Volvo, termasuk B-segment Modular Architecture (BMA), Pure-electric Modular Architecture (PMA), Compact Modular Architecture (CMA) dan Scalable Product Architecture (SPA).

Seiring dengan pendapatan dan untuk memenuhi pelbagai pasaran, kerjasama Geely-Volvo ini turut telah menubuhkan pelbagai jenama dan syarikat baharu, serta pengambilan ‘ahli-ahli baharu’ di bawah satu payung sepanjang 10-tahun ini termasuk Geometry, smart, Polestar, the London Electric Vehicle Company (LEVC), Lotus, Lynk & Co dan Proton.

Geely Holding bukan sahaja menaung jenama-jenama automotif biasa, tetapi turut terlibat dalam industri pengangkutan darat dan udara seperti Terrafugia, Volocopter, CaoCao, StarRides, serta satelit orbit rendah menerusi Geespace.

Tiada tanda-tanda momentum perkembangan ini akan perlahan dalam masa terdekat, dan Geely berharap mereka akan berada dalam kumpulan 10 pengeluar automobil terbaik di dunia pada masa hadapan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required