Polestar 1 – 230 kg lebih ringan dengan gentian karbon

Polestar 1 – 230 kg lebih ringan dengan gentian karbon

Polestar 1 white exterior, 3/4 rear

Penggunaan bahan gentian karbon yang meluas pada model Polestar 1 kini didedahkan dengan lebih terperinci; model kereta sport plug-in hybrid buatan Sweden itu dikatakan akan menggunakan bahan plastik yang diperkukuh dengan gentian karbon (carbon-fibre reinforced plastic (CFRP)) bagi sebahagian besar badannya. Lebih menarik, pendekatan ini menyumbang kepada pengurangan berat sehingga 230 kg!

Menurut CarAdvice, CRFP akan digunakan pada bahagian bonet, penutup but depan, panel sisi, pintu dan keseluruhan struktur bumbung. Begitu juga pada bahagian antara tengah lantai dengan struktur belakang turut akan menggunakan material yang sama. CFRP ringan dan juga lebih kukuh berbanding besi.

Ketua ciptaan produk Polestar, Christian Samson menjelaskan; “bila anda gabungkan kekuatan kerangka dengan struktur badan dan bumbung yang juga sangat kukuh, anda akan mendapatkan sebuah casis yang keras dan sekaligus memberikan maklum balas yang tepat. Dengan input yang cermat dari pemandu, ini boleh diterjemah untuk mendapatkan sebuah karakteristik pemanduan yang sangat baik.”

Model Polestar 1 ini juga akan menerima bumbung panoramik yang diperbuat daripada kaca yang luas. Dengan penggunaan CFRP, panel kaca berkenaan akan membantu memberikan “pemandangan panoramik” yang sebenar.

Polestar 1 yang dipertontonkan pertama kali Oktober tahun lalu akan dilengkapi dengan sistem janaan “Electric Performance Hybrid” yang menampilkan penggunaan enjin 2.0 liter Drive-E empat-silinder yang memacu roda depan. Ia disertai juga oleh unit integrated starter generator (ISG) dengan janaan 46 hp/150 Nm. Dua motor elekrik dengan kuasa 109 hp setiap satu berfungsi untuk memacu roda belakang. Motor berkenaan akan mendapatkan kuasa dari tiga pek bateri dengan kuasa keseluruhan 34 kWh. Ciri torque vectoring juga ada sama.

Output keseluruhannya ialah 600 hp dan 1,000 Nm tork. Namun, kepantasan 0-100 km/j jentera ini masih belum diketahui (ura-ura mengatakan di bawah 4.0 saat). Menurut Polestar, model ini mampu untuk mencecah kelajuan 150 km/j hanya dengan menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya.

Pengeluaran kereta ini akan dijaankan di kilang khusus Polestar di Chengdu, China. Syarikat itu juga sudah mula mengambil tempahan, dengan harga yang dinyatakan adalah sekitar 130,000 Euro (RM600k). Mengikut jejak langkah model 1 ini, Polestar juga akan memulakan kerja pembinaan model 2 pula, yang akan menjadi kenderaan elektrik kuasa bateri (BEV) pertama dari Volvo Car Group.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required