Empat bulan selepas tiba di Thailand, kini giliran Malaysia pula menerima MINI John Cooper Works GP, iaitu model produksi MINI paling hardcore pernah dihasilkan, dan ia dibina dalam jumlah terhad. Dari 3,000 unit yang dibuat untuk pasaran seluruh dunia, kita menerima 10 unit JCW GP ini untuk dijual dalam pasaran tempatan, di mana tiga daripadanya akan diserahkan kepada pelanggan ketika ia dilancarkan hari ini.

Model ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM377,470.90 siap dengan pengecualian cukai jualan 2020. Setiap pembelian versi istimewa ini lengkap dengan perlindungan waranti pengeluar selama empat tahun tanpa had perbatuan bersama servis berkala percuma, dan juga bantuan tepi jalan selama lima tahun.

MINI JCW GP ini dibina berasaskan varian paling kecil dan ringan iaitu MINI tiga-pintu, diberikan kit badan lebih lebar bagi membolehkan trek rodanya turut dilebarkan serta menerima pengurangan berat sehinggakan tempat duduk belakangnya dicabut.

Model istimewa ini dijana oleh enjin 2.0 liter empat-silinder turbo, sama seperti model jauh lebih besar JCW F54 Clubman dan crossover F60 Countryman baharu – menghasilkan 306 hp pada takat 5,000 hingga 6,250 rpm dan tork maksima 450 Nm bermula 1,750 rpm hingga 4,500 rpm.

Juga ia lebih ringan tanpa sistem pacuan semua roda ALL4 seperti pada Clubman dan Countryman, dimana kesemua kuasa hanya memacu roda hadapan menerusi kotak gear lapan-kelajuan automatik yang lengkap dengan LSD mekanikal, membolehkan ia memecut dari memecut dari 0-100 km/j hanya dalam masa 5.2 saat. Tiada cut-off pada enjin model ini, dan secara standard ia boleh mencapai kelajuan maksima 265 km/j.

JCW GP ini turut datang sekali dengan pakej pemanduan dan pengendalian yang mantap. LSD yang diberikan bukan berfungsi secara mekanikal semata-mata, dan ia turut dihubungkan kepada Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC). Ia berupaya untuk menghasilkan kesan lock-up sehingga 31% untuk memberikan cengkaman kedua-dua roda hadapan yang lebih baik, bagi memastikan understeer atau oversteer boleh dielakkan lebih awal.

MINI juga memastikan sambungan pada cagak enjin, struktur badan dan suspensi adalah lebih kuat dari biasa. Ini memberikan respon stereng dan juga pedal pendikit menjadi lebih baik. Suspensi hadapan menerima pendakap-pendakap tambahan, manakala di belakang kerangka topang berbentuk segi-empat yang direka khas memastikan suspensi boleh dilaras untuk menangani pecutan sisi pada tahap tertinggi.

Model istimewa ini juga menerima talaan suspensi khas hanya untuknya dan ia diuji secara intensif di litar Nürburgring, Jerman. Badan kereta ini juga adalah 10 mm lebih rendah dari JCW biasa, manakala sudut camber hadapan dan belakang yang dipertingkat membolehkan potensi untuk memindahkan daya sisi dipertingkat ketika mengambil selekoh secara agresif.

Bukan itu sahaja, ia juga diberikan galas getah pada gandar hadapan dan belakang yang lebih keras. Manakala pada lengan wishbone belakang, sambungan dengan cagak getah di sebelah luar telah digantikan dengan komponen dari logam, dan pada sebelah dalam menggunakan getah dengan material lebih keras.

Bagi menghentikan kereta ini, ia diberikan angkup aluminium tetap empat-omboh berwarna merah, bersama cakera berliang 360 x 30 mm pada sebelah depan. Angkup terapung silinder-tunggal pula berfungsi untuk menghentikan roda belakang. Set brek tersebut berselindung di sebalik rim aloi forged yang sangat ringan (kurang 9 kg setiap satu) bersaiz 18-inci dengan lebar 8.0 j. Ia dibaluti tayar berprestasi tinggi bersaiz 225/35R18.

Dengan talaan suspensi lebih agresif dan perlunya sistem aero yang lebih baik, MINI JCW GP ini turut menerima rupa luaran yang lebih ganas dari biasa. Bampar hadapan versi ini menerima gril bawah dengan liang pengambilan udara yang besar untuk mengalirkan udara sejuk ke sistem penyejukkan enjin dan sistem brek. Kemudian ia diberikan spoiler yang bersambung terus dengan kedua-dua overfender hadapan yang kelihatan seperti terapung. Rekaan hampir sama tampil pada fender belakang.

Kesemua panel overfender tersebut diperbuat dari bahan ringan plastik yang diperkuat dengan gentian karbon (CFRP). JCW GP ini kemudiannya diberikan spoiler belakang yang cukup besar dengan dua bilah sayap. Juga seperti bahagian hadapan, overfender kelihatan bersambung dengan bampar belakang, dan terus dihubungkan kepada diffuser yang bersaiz besar. Kesemua 3,000 unit MINI JCW GP ini hanya hadir dalam warna Racing Grey Metallic, dengan bumbung dan penutup cermini sisi menerima serlahan kontras Melting Silver metallic.

Pada bahagian dalaman pula, model ini diberikan tempat duduk sport yang dibalut dengan gabungan Dinamica dan kulit, bersama serlahan jalur perak pada setiap sisi, jahitan benang merah dan juga logo GP. Bagi mengurangkan beratnya, tiada tempat duduk diberikan pada bahagian belakang.

Logo-logo GP diberikan pada pelbagai tempat seperti pedal penukar gear dan juga pada karpet kaki. Manakala serlahan jalur merah pula menghiasi pelbagai bahagian termasuk pada tombol gear dan juga bar pengukuh di belakang tempat duduk.