Bermaz Auto rancang Mazda CX-30 CKD — MX-30 mild-hybrid, BT-50 serba baru dalam tahun 2021

Bermaz Auto rancang Mazda CX-30 CKD — MX-30 <em>mild-hybrid</em>, BT-50 serba baru dalam tahun 2021

Awal tahun ini, dilaporkan Bermaz Auto merancang untuk memperkenalkan SUV Mazda terbaru versi pemasangan tempatan (CKD) bagi tahun kewangan 2021, yang bermula dari 1 Mei 2020 hingga 30 April 2021.

Walaupun tidak menyebut mana-mana model secara spesifik, ada dua kemungkinan sahaja, iaitu MX-30 dan CX-30 – model kedua ini sudahpun berada dalam pasaran dalam versi CBU lengkap. Bagaimanapun, itu sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa pada 18 Mac lalu. Adakah rancangan itu masih akan diteruskan?

Dalam satu episod The Breakfast Grille oleh BFM, yang disiarkan pada 13 Ogos, CEO Bermaz, Datuk Francis Lee membincangkan status terkini syarikat serta rancangan masa depannya, termasuk topik yang dinyatakan ini dan lain-lain perkara.

Berkenaan SUV Mazda terbaru versi CKD, beliau mengesahkan bahawa suntikan tunai bernilai RM200 juta terhadap kilang Inokom di Kulim, Kedah di mana semua kereta CKD Mazda dipasang, telah diperuntukkan. Bermaz Auto memiliki 29% kilang Inokom tersebut dan telah mengeluarkan sekitar RM20 juta daripada RM200 juta itu untuk dilaburkan bagi kerja-kerja memperluas fasiliti berkenaan.

Bermaz Auto rancang Mazda CX-30 CKD — MX-30 <em>mild-hybrid</em>, BT-50 serba baru dalam tahun 2021

“Kami sentiasa melihat kepada lebih banyak model CKD. Tetapi, ketika tempoh pandemik ini, tentunya ia sedikit sebanyak terkesan. Tetapi kami belum berputus asa dan berharap Mazda akan cuba memenuhi permintaan kami. Kami masih lagi mengusahakannya dengan bersungguh,” jelas beliau.

“Bagi perluasan kilang, ia akan diteruskan seperti dirancang, tetapi akan tertangguh untuk beberapa bulan akibat pandemik dan PKP. Peruntukkan kapital perbelanjaan RM200 juta ini akan berlangsung pada tahap Inokom dan bukannya Bermaz. Tentang aliran tunai, ini tidak akan menyusutkan nilai tunai kami,” tambah beliau.

Tambah beliau; “kami juga masih berharap akan ada model CKD ketiga (selepas CX-5 dan CX-8) daripada Mazda Jepun, yang ketika ini masih diusahakan. Komunikasi dengan Hiroshima ketika ini agak terbatas. Kami tidak boleh terbang ke sana sesuka hati untuk mengadakan perbincangan. Tetapi harapnya dalam sebulan dua ini kami dapat duduk dalam satu panggilan persidangan maya untuk menyambung perbincangan.”

Sekali lagi, model yang spesifik tidak dinyatakan, tetapi merasakan yang CX-30 merupakan model yang akan dipasang CKD, memandangkan MX-30 agak baru dan belum memasuki pasaran utama dunia secara menyeluruh lagi. Apapun, semua ini hanya akan dapat dipastikan dengan pengumuman rasmi oleh Bermaz nanti.

Bermaz Auto rancang Mazda CX-30 CKD — MX-30 <em>mild-hybrid</em>, BT-50 serba baru dalam tahun 2021

Ketika ditanya berkaitan Next Generation Vehicles (NxGVs) – seperti yang dinyatakan dalam NAP 2020 – beliau menyebut tentang MX-30; “kami ada perancangan untuk membawa masuk model-model generasi akan datang ini. MX-30 yang diperkenalkan ketika Tokyo Motor Show tahun lalu juga ada versi elektrik sepenuhnya. Rancangan awal kami adalah untuk membawanya masuk menjelang hujung tahun ini, tetapi bukan dalam versi elektrik sepenuhnya, kerana infrastruktur di Malaysia belum cukup tersedia.”

“Apa yang ingin kami lakukan ialah membawa masuk versi mild-hybrid. Asalnya sebelum hujung tahun ini, tetapi disebabkan pandemik, ia akan tertangguh selama sebulan atau dua. Selebihnya, bila prasarana yang kita ada lebih meyakinkan, begitu juga dengan insentif yang baik oleh kerajaan, maka kami akan mempertimbangkan untuk membawa masuk MX-30 versi elektrik sepenuhnya,” jelasnya.

“Model-model lain yang kami pertimbangkan untuk dibawa masuk ialah BT-50 serba baru. Model baru itu merupakan kerjasama dengan Isuzu, tetapi dengan rekaan Mazda yang tersendiri. Harapnya kami akan dapat memperkenalkannya dalam suku pertama tahun depan,” jelas beliau.

Inilah serba sedikit kemaskini dan perkembangan Bermaz Auto ketika ini. Sama-sama kita nantikan pengenalan model-model yang disebutkan ini nanti.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required