Ada yang geram tengok kereta elektrik comel Honda e yang kelihatan seperti Honda Civic ‘telur’ generasi pertama ini? Geram macam mana sekalipun, telah sahajalah air liur – ini kerana Honda menyatakan bahawa mereka tidak merancang untuk menjual hatchback EV ini di pasaran selain Eropah dan Jepun.

Ini bermaksud, pasaran besar seperti Amerika Utara dan juga China tidak akan menerima model ini, apatah lagi kita yang berada di ASEAN. Honda juga tidak mensasarkan jualan yang tinggi untuk kereta elektrik ini di mana mereka hanya menjangkakan jualan sebanyak 10,000 unit di seluruh Eropah dan 1,000 unit di Jepun setahun.

Honda e telah mula dijual di pasaran Eropah awal bulan ini, manakala untuk Jepun, jualannya akan bermula pada hujung Oktober nanti. Honda turut menyatakan bahawa Honda e juga akan diperkenalkan dalam program perkongsian kenderaan di Jepun, menurut laporan Reuters.

MASS PRODUCTION HONDA E REVEALED AND SET TO DEBUT AT FRANKFURT

Jenama Jepun itu juga memberitahu bahawa mereka tidak akan bersaing dengan Tesla atau pembuat lain, yang fokus kepada pemanduan jarak jauh serta saiz yang lebih besar seperti SUV. Honda e ini dihasilkan dengan ditumpukan lebih untuk pemanduan dalam bandar, walaupun untuk model yang lebih tinggi Honda e mampu bergerak sejauh 220 km dengan satu caj penuh, menurut Honda.

Dengan kos penghasilan bateri yang tinggi, kebanyakkan kereta elektrik sepenuhnya perlu bersaing dalam pasaran premium, dan Honda perlu memastikan kos ini rendah untuk model elektriknya tersebut terus kekal kuat dan difokuskan pada kegunaan bandar moden.

“Kebanyakkan EV menggunakan bateri berkapasiti tinggi, tetapi selalunya, kebanyakkan kapasiti tersebut tidak digunakan ketika dipandu di dalam bandar. Kami mempersoalkan adakah kereta yang lebih besar sesuai untuk kawasan urban, dan percaya bahawa lebih kecil adalah opsyen yang lebih baik untuk kegunaan bandar,” kata ketua jurutera Honda e Tomofumi Ichinose kepada wartawan awal minggu ini.

Respon dinamik Honda e ini juga dibuat bersesuaian untuk kegunaan dalam bandar. Ichinose berkata bahawa jurutera Honda mengutamakan ketepatan dan juga pengendalian yang tajam bagi memastikan pusingan-U mudah dibuat pada jalan yang sempit, manakala cermin sisi telah digantikan dengan kamera yang memberikan visual pada dua paparan digital 12.3-inci bagi mengelakkan cermin bersaiz besar diletakkan pada bahagian sisi yang menyukarkan kereta ini bergerak pada laluan sempit.

Honda e dihasilkan dalam dua varian kuasa – model dengan janaan 100 kW (136 PS) dan 113 kW (154 PS) – namun kedua-duanya menghasilkan tork 315 Nm. Di Jerman, Honda e dijual pada harga bermula 29,470 euro (RM145,460) untuk model 100 kW, dan 32,470 euro (RM160,268) untuk versi 113 kW.